Sorting by

×

‘RAKYAT PUN SAYANG MELAKA’

Masa Membaca:1 Minit, 29 Saat

AYER KEROH 28 Mac – Rata-rata rakyat Melaka mengakui dapat merasai gagasan Melaka Sayang Rakyat (MeSRa) yang dibawa Kerajaan Negeri menerusi penganjuran Rumah Terbuka Aidilfitri Peringkat Negeri Melaka 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.

S. Kogilaah, 50, berkata, penganjuran rumah terbuka itu saban tahun mencerminkan kemesraan dan komitmen pemimpin negeri dalam menyantuni rakyat, selain terus memupuk semangat perpaduan antara kaum di negeri ini.

“Melaka Sayang Rakyat ini memang sangat dirasai kerana kita dapat berkumpul bagai sebuah keluarga tanpa mengira kaum dalam majlis penuh meriah seperti ini. Saya seronok dapat duduk semeja dengan rakan-rakan berbilang kaum yang cukup mesra dan ramah.

“Bukan sahaja Melaka Sayang Rakyat, malah rakyat juga sayang Melaka,” katanya kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui pada majlis berkenaan.

WhatsApp Image 2026 03 28 at 15.49.14
S. Kogilaah ketika ditemui Melaka Hari Ini pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Melaka Sayang Rakyat Peringkat Negeri Melaka Tahun 2026 di MITC, Ayer Keroh.

Kogilaah yang berasal dari Anjung Gapam datang ke majlis berkenaan bersama suami dan dua anak, selain turut mengenakan busana baju kurung moden bagi menambah lagi seri kemeriahan majlis tersebut.

Menurutnya, baju kurung itu dibeli secara dalam talian dan ia merupakan kali pertama dia mengenakan busana yang cukup sinonim dengan masyarakat Melayu setiap kali Hari Raya Aidilfitri.

“Walaupun tidak mengenali tetamu yang hadir ke majlis ini, ramai yang memuji apabila saya memakai baju kurung seperti ini. Bagi saya, baju ini sangat selesa dan cantik, malah, saya turut membelikan baju Melayu untuk dipakai anak saya pada majlis sambutan Aidilfitri di sekolah nanti,” katanya.

Surirumah itu turut memuji pelbagai juadah yang disajikan kepada rakyat dan menyifatkan rendang ayam, putu mayam, ketupat dan kuah kacang sebagai makanan yang amat digemarinya pada majlis berkenaan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

491
Kongsi :
Previous post CUACA PANAS: MELAKA BERJAYA KURANGKAN 50 PERATUS PEMBAZIRAN AIR, TIDAK LAKSANA CATUAN
Next post MASYARAKAT CINA AKUI MELAKA MEMANG MESRA, SAYANG RAKYAT