Sorting by

×

DALAM BERAYA, MELAKA DIDIK RAKYAT AMAL KITAR SEMULA

Masa Membaca:1 Minit, 25 Saat

AYER KEROH 28 Mac – Di sebalik kemeriahan Rumah Terbuka Aidilfitri Melaka Sayang Rakyat Peringkat Negeri Melaka, Kerajaan Negeri turut mengambil kesempatan memupuk budaya kitar semula dalam kalangan rakyat.

Inisiatif itu digerakkan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) dengan kerjasama World Youth Foundation (WYF), Lions Club Melaka dan Persekutuan Pengakap Malaysia Negeri Melaka.

Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin berkata, inisiatif itu turut melibatkan lebih 40 pelajar daripada pelbagai sekolah dalam Negeri Melaka yang bertugas mengutip sisa kitar semula seperti botol plastik sepanjang majlis tersebut.

Beliau berkata, dianggarkan lebih 110,000 kilogram (kg) botol plastik dikumpulkan sepanjang enam jam majlis itu berlangsung, di mana kesemuanya akan dikitar semula selari dengan aspirasi Melaka lestari.

“Inisiatif ini digerakkan kerana di samping kemeriahan kita menyambut Syawal yang mulia ini, kita mahu mengingat dan mendidik rakyat Melaka supaya membudayakan kitar semula dan sentiasa menjaga kebersihan.

“Jadi, menerusi inisiatif ini, kita menggerakkan jabatan dan agensi serta pelbagai badan bukan kerajaan (NGO) dan generasi muda untuk menjadikan kitar semula ini sebagai contoh dan amalan di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas menyempurnakan gimik perasmian Festive Plastic Bottle Recycling Program sempena Rumah Terbuka Aidilfitri Melaka Sayang Rakyat Peringkat Negeri Melaka 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Rais berkata, kesemua agensi dan jabatan berkaitan, termasuk empat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di negeri ini akan terus komited dalam memastikan agenda kebersihan dan kelestarian alam di negeri ini diperkasakan.

“Perkara ini penting memandangkan antara sebab utama Melaka sentiasa menjadi pilihan pelancong adalah kerana kebersihan, keindahan dan keceriaan negeri bersejarah ini,” tambahnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

973
Kongsi :
Previous post MASYARAKAT CINA AKUI MELAKA MEMANG MESRA, SAYANG RAKYAT