Sorting by

×

BUDAYA KITAR SEMULA DI MELAKA MENINGKAT

Masa Membaca:1 Minit, 13 Saat

AYER KEROH 29 Mac – Kesedaran rakyat Melaka mengamalkan kitar semula terus menunjukkan peningkatan saban tahun hasil pelbagai inisiatif dan galakan yang digerakkan Kerajaan Negeri.

Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin berkata, antara usaha dilakukan yang menyumbang kepada peningkatan budaya tersebut adalah menerusi kewujudan pusat kitar semula yang disediakan di seluruh negeri.

Jelas beliau, inisiatif itu bukan sahaja memudahkan orang ramai menghantar barangan atau sisa yang boleh dikitar semula, malah, ia juga membantu rakyat menjana pendapatan menerusi amalan tersebut.

“Seperti contoh di Ayer Keroh kita mempunyai pusat kitar semula pandu lalu di Taman Botanikal Melaka, manakala di Bandaraya Melaka kita ada di Taman Rekreasi Bukit Serindit.

“Malah, agensi seperti SWM Environment, SWCorp serta empat pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini turut memperkasa pelbagai program kitar semula yang secara tidak langsung berjaya meningkatkan kesedaran rakyat di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas menyempurnakan gimik perasmian Festive Plastic Bottle Recycling Program sempena Rumah Terbuka Aidilfitri Melaka Sayang Rakyat Peringkat Negeri Melaka 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, semalam.

Menurut Rais, dengan pelbagai inisiatif dan program yang telah digerakkan, rakyat di seluruh Negeri Melaka diharap dapat mula mengamalkan pengasingan sisa yang boleh dikitar semula bermula dari rumah.

“Usaha ini penting dalam memastikan Melaka kekal bersih dan lestari dan seterusnya dapat mewariskan keindahan alam semulajadi kepada generasi akan datang,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

504
Kongsi :
Previous post RUMAH TERBUKA MACHAP JAYA JAMU JUADAH TRADISIONAL, SEMARAK AIDILFITRI DALAM SUASANA MUHIBAH
Next post KEBAJIKAN PELAJAR TVET MELAKA TERUS DIPERKASA