
RUMAH TERBUKA MACHAP JAYA JAMU JUADAH TRADISIONAL, SEMARAK AIDILFITRI DALAM SUASANA MUHIBAH
AYER KEROH 29 Mac – Lebih 20 jenis juadah tradisional hari raya bakal disajikan kepada penduduk pada Jamuan Aidilfitri ‘Melaka Sayang Rakyat’ Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap Jaya, pada 5 April ini.
Majlis yang akan berlangsung dari jam 8 malam hingga 11 malam di Dewan Serbaguna Felda Hutan Percha, Alor Gajah itu dijangka menjadi tumpuan penduduk setempat dan kawasan sekitar.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Machap Jaya Datuk Ngwe Hee Sem berkata, pelbagai juadah dihidangkan sebagai usaha meraikan penduduk dalam suasana meriah sempena Aidilfitri, di mana ia merangkumi menu tradisional hari raya yang menjadi kegemaran ramai.
“Penganjuran rumah terbuka ini diyakini dapat memperkukuh hubungan silaturahim antara pemimpin dan masyarakat selain memupuk semangat perpaduan dalam kalangan penduduk pelbagai berbilang kaum.
“Majlis ini akan turut diserikan dengan kehadiran Yang di- Pertua Negeri Tun Seri Setia Dr Mohd Ali Mohd Rustam dan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Hee Sem yang juga Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri berkata, pemilihan tarikh tersebut juga dibuat supaya tidak bertembung dengan penganjuran rumah terbuka wakil rakyat lain, sekali gus memberi peluang lebih ramai pengunjung untuk hadir.
“Selain memberi fokus kepada penduduk DUN Machap Jaya, saya turut mengalu-alukan kehadiran orang ramai dari luar kawasan untuk bersama-sama merasai kemeriahan sambutan Aidilfitri dalam suasana penuh muhibah dan kekeluargaan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


