Sorting by

×

390 CALON SPM MELAKA RAIH SEMUA A

Masa Membaca:1 Minit, 10 Saat

ALOR GAJAH 31 Mac – Seramai 390 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 Melaka berjaya memperoleh keputusan cemerlang semua A, sekali gus mencerminkan peningkatan positif prestasi akademik negeri ini.

Pengarah Pendidikan Negeri Melaka Mahfudzah Mohamed Noor berkata, jumlah itu mewakili 3.48 peratus daripada keseluruhan 10,881 calon menduduki peperiksaan berkenaan.

“Daripada jumlah itu, seramai lapan pelajar berjaya meraih gred tertinggi A+ bagi semua mata pelajaran yang diduduki,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Pengumuman Keputusan Peperiksaan SPM 2025 Peringkat Negeri di Sekolah Menengah Sains Alor Gajah, di sini, hari ini.

Hadir sama Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Pengurusan Sekolah Karim Tumin; Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Perancangan dan Pengurusan PPD Sri Dewi Saiful Nathan serta Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Pembangunan Murid Jamsari Mariman.

Katanya Gred Purata Negeri (GPN) turut menunjukkan peningkatan apabila mencatatkan 4.26 mata bagi 2025 berbanding 4.43 mata pada tahun sebelumnya.

“Penurunan nilai GPN sebanyak 0.17 mata ini menunjukkan prestasi keseluruhan calon semakin baik kerana semakin kecil nilai GPN, semakin tinggi pencapaian,” katanya.

Tambah beliau, sebanyak 55 sekolah di negeri ini berjaya mencatatkan Gred Purata Sekolah (GPS) lebih baik daripada 5.00, manakala 24 daripada 76 sekolah mencapai 100 peratus layak menerima sijil.

“Bagi pencapaian mata pelajaran teras, semua tujuh subjek utama mencatatkan peratus kelulusan melebihi 81 peratus, dengan Bahasa Melayu mencatatkan kelulusan tertinggi iaitu 99.43 peratus,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1019
Kongsi :
Previous post MELAKA SEJAHTERAKAN HIDUP RAKYAT, KEBAJIKAN LEBIH 100,000 GOLONGAN MEMERLUKAN TERBELA
Next post MASA DEPAN MELAKA SEMAKIN BAIK