
KERAJAAN KEKALKAN BANTUAN BUDI DIESEL RM300 SEBULAN UNTUK APRIL – MOF
Kementerian Kewangan (MoF) dalam kenyataan hari ini memaklumkan bantuan tambahan interim sebanyak RM100 akan diteruskan, menjadikan jumlah keseluruhan bantuan bagi kategori BUDI Individu dan BUDI Agri-Komoditi kekal sebanyak RM300.
“Bantuan akan disalurkan mulai 8 April ini, memanfaatkan kira-kira 340,000 penerima dengan peruntukan sekitar RM102 juta,” menurut kenyataan itu.
MoF memaklumkan Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan langkah itu mencerminkan kepekaan dan keprihatinan kerajaan terhadap tekanan kos sara hidup susulan kenaikan harga bahan api global.
“Langkah ini dilaksanakan oleh kerajaan bagi memastikan pengguna diesel, khususnya individu serta sektor agri-komoditi, terus menerima sokongan serta melindungi mereka daripada terdedah sepenuhnya kepada kenaikan harga pasaran global,” menurut kenyataan itu.
Sejak diperkenalkan pada Mei 2024, program BUDI Diesel telah menyalurkan bantuan tunai mencecah RM1.12 bilion bagi meringankan beban rakyat.
Kenyataan itu menyebut pendekatan bersasar tersebut bertujuan memastikan bantuan sampai kepada golongan yang benar-benar memerlukan di samping mengekalkan disiplin fiskal negara dalam keadaan tekanan global yang berterusan.
Selain bantuan interim, MoF memaklumkan kerajaan juga sedang mempertimbangkan langkah jangka sederhana dan panjang bagi memastikan sistem subsidi kekal mampan, telus dan terus memanfaatkan rakyat.
“Kerajaan terus memantau rapi perkembangan pasaran tenaga global dan bersedia mengambil langkah tambahan dengan segera bagi memastikan bekalan kekal stabil dan mencukupi.
“Penguatkuasaan juga dipertingkat bagi membendung penyelewengan dan memastikan subsidi sampai kepada kumpulan sasar,” menurut kenyataan itu.
Orang ramai yang layak boleh mengemukakan permohonan BUDI Diesel yang dibuka sepanjang tahun melalui laman sesawang rasmi di https://budidiesel.gov.my. – BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

