
PPSPM: BAUCAR DISKAUN KEPADA 850 PENGUNJUNG TERAWAL MELAKA BILA LARUT MALAM
DUYONG 2 April – Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) akan mengagihkan pelbagai baucar diskaun kepada 850 pengunjung terawal pada Program Melaka Bila Larut Malam Edisi April 2026, Sabtu ini.
Ketua Pegawai Eksekutif PPSPM Shaharul Azuar Idris berkata, baucar diskaun sehingga 32 peratus itu diberikan dengan kerjasama rakan strategiknya seperti KFC, Restoran Altitude dan pelbagai lagi.
Katanya, kaunter tiket di Jeti Taman Rempah dan Jeti Muara akan dibuka seawal jam 11 malam dengan menyasarkan lebih 1,200 pengunjung akan menikmati suasana malam menyelusuri Sungai Melaka.
“Harga tiket seperti sebelum ini, RM10 seorang namun dengan pembelian empat tiket akan diberikan percuma satu lagi tiket bermula jam 11 malam sehingga 2 pagi.
“Kemasukan percuma akan diberikan kepada pengunjung yang memakai busana etnik Melaka,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Mengulas lanjut, Shaharul Azuar berkata pengunjung turut diserikan dengan persembahan dari artis tempatan, 3 Piece Band sementara menunggu giliran menaiki Bot Melaka River Cruise.
Tambahnya, PPSPM akan sentiasa menyajikan pelbagai kelainan yang akan memberi nilai tambah kepada pelancongan negeri dari semasa ke semasa.
“Bersama-sama rakan strategik di bawah PPSPM, kita akan mempelbagaikan pemberian baucar diskaun yang diberikan kepada pengunjung sempena Program Bila Larut Malam,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


