Sorting by

×

PEMUDA MAUT MOTOSIKAL REMPUH KERETA KELUAR SIMPANG DI ALOR GAJAH

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

ALOR GAJAH 2 April – Seorang penunggang maut selepas motosikal ditunggangnya merempuh sebuah kereta yang keluar dari simpang berhampiran sebuah pasar raya di pekan Alor Gajah, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.48 malam itu, lelaki berusia 20 tahun yang bekerja di sebuah pasar raya dan menunggang motosikal jenis Yamaha Y15ZR disahkan maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Melaka, Superintendan Muhammad Zaki Ramat berkata, siasatan awal mendapati mangsa dipercayai dalam perjalanan dari arah Bandar Jelatang menghala ke Dataran Keris.

Katanya, kereta jenis Perodua Axia dipandu lelaki berusia 27 tahun pula dalam dalam perjalanan dari arah Terminal Bas Alor Gajah menghala ke Pengkalan dan dipercayai telah keluar simpang ke kanan untuk memasuki jalan utama.

“Ketika kereta terbabit keluar simpang, motosikal mangsa yang datang dari arah Bandar Jelatang tidak sempat mengelak dan melanggar bahagian sisi kanan kenderaan tersebut.

“Akibat pelanggaran itu, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, pemandu kereta bersama penumpang wanita berusia 29 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Alor Gajah untuk bedah siasat.

“Kedua-dua kenderaan telah ditahan untuk pemeriksaan di PUSPAKOM manakala rakaman CCTV di lokasi turut diperoleh bagi membantu siasatan.

“Hasil ujian saringan air kencing ke atas pemandu kereta juga didapati negatif daripada sebarang pengaruh dadah dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

471
Kongsi :
Previous post PPSPM: BAUCAR DISKAUN KEPADA 850 PENGUNJUNG TERAWAL MELAKA BILA LARUT MALAM
Next post SUKAN ORANG ASLI ANTARA 115 PROGRAM MENARIK WRUR DUN ASAHAN