Sorting by

×

SUKAN ORANG ASLI ANTARA 115 PROGRAM MENARIK WRUR DUN ASAHAN

Masa Membaca:1 Minit, 34 Saat

BANDARAYA MELAKA 2 April – Penganjuran Sukan Orang Asli Peringkat Negeri Melaka antara 115 program yang disusun sempena program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Asahan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Asahan Datuk Fairul Nizam Roslan berkata, DUN Asahan menjadi lokasi pertama dalam Parlimen Alor Gajah yang mengaplikasikan konsep baharu pelaksanaan program WRUR sebelum diteruskan di DUN Gadek dan penutupnya di DUN Machap Jaya.

“Dalam tempoh seminggu pelaksanaan program WRUR DUN Asahan yang akan bermula esok sebanyak 115 program telah disusun yang mengetengahkan konsep Alor Gajah Kampung Kita.

“Menariknya di WRUR DUN Asahan akan berlangsungnya Sukan Orang Asli Peringkat Negeri Melaka pada 6 April yang mana kita menyasarkan penyertaan sekurang-kurangnya 500 masyarakat Orang Asli dari seluruh Melaka.

“Parlimen Alor Gajah merekodkan jumlah masyarakat Orang Asli paling ramai di Melaka dengan keseluruhan sebanyak 12 kampung Orang Asli,” katanya pada sidang media selepas bersiaran langsung di MelakaFM menerusi Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat, hari ini.

Beliau yang juga Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri berkata, walaupun pun tempoh pelaksanaan WRUR DUN Asahan hanya seminggu pastinya program yang disusun dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan Japerun akan memberi manfaat sepenuhnya kepada rakyat.

“Membawa konsep semangat Kampung Kita ia bukan hanya untuk menyemai kesedaran dalam kalangan masyarakat tetapi memastikan masyarakat
lebih cakna serta terlibat secara langsung dalam pembangunan komuniti setempat.

“Dalam tempoh itu juga pastinya barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri akan mempunyai jadual yang cukup padat untuk turun ke DUN bagi mendengar dan menyelesaikan aduan termasuk pemasalahan penduduk,” katanya.

Jelas beliau, perasmian program WRUR DUN Asahan akan diadakan pada Sabtu ini (4 April) di padang Sekolah Kebangsaan Felda Tun Ghafar Bukit Senggeh dan turut akan berlangsung Jamuan Aidilfitri Melaka Sayang Rakyat DUN Asahan yang akan disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

375
Kongsi :
Previous post PEMUDA MAUT MOTOSIKAL REMPUH KERETA KELUAR SIMPANG DI ALOR GAJAH
Next post LOJI WTE SUNGAI UDANG BEROPERASI 2029