Sorting by

×

34 PROJEK PR1MA DIKATEGORIKAN ‘SAKIT’ SIAP SEPENUHNYA

Masa Membaca:1 Minit, 26 Saat

KLEBANG 2 April – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mengumumkan semua projek perumahan Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) yang sebelum ini dikategorikan sebagai projek sakit atau terbengkalai siap sepenuhnya.

Menterinya Nga Kor Ming berkata, dengan penyerahan kunci kepada penduduk Residensi Klebang 2 dan Residensi Bukit Katil ia secara rasminya telah menyelesaikan projek sakit terakhir dibawah portfolio PR1MA.

“Saya mengumumkan bahawa sebanyak 34 projek sakit dalam portfolio PR1MA telah berjaya diselesaikan sepenuhnya.

“Kedua-dua projek ini mengalami kelewatan akibat cabaran pandemik COVID-19 dan kali ini kita berjaya menunaikan janji kepada pembeli sekaligus membantu seramai 22,925 orang pembeli untuk memiliki kediaman sendiri.

“Walaupun berdepan pelbagai cabaran, komitmen yang jitu serta pelaksanaan yang berkesan telah membolehkan projek-projek ini disiapkan, sekali gus memberi manfaat kepada pembeli khususnya mereka daripada golongan B40 dan M40,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Kunci Residensi Klebang 2 Dan Residensi Bukit Katil, di Residensi Klebang 2, hari ini.

Hadir sama, Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin serta Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Klebang Datuk Wira Lim Ban Hong.

Menurut Kor Ming, sebagai langkah pencegahan bagi mengelak berlaku isu projek rumah sakit pada masa hadapan terutamanya dalam mendepani krisis global termasuk peningkatan kos pembinaan, Kerajaan MADANI memberi tumpuan sepenuhnya kepada Reformasi Perumahan MADANI.

“Ini termasuk transformasi sistem penyampaian projek melalui pemantauan yang lebih rapi, ketelusan pelaksanaan serta pengukuhan akauntabiliti di setiap peringkat ia bagi memastikan setiap projek berjalan mengikut jadual telah ditetapkan.

“Kerajaan juga akan melaksanakan audit ke atas Akaun Pemaju Perumahan (HDA) serta menggalakkan penggunaan teknologi pembinaan moden serta digitalisasi dalam pengurusan projek sebagai usaha meminimumkan risiko kelewatan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1054
Kongsi :
Previous post LEBIH 21,000 RUMAH MAMPU MILIK SUDAH DIBINA DI MELAKA
Next post BACAAN YASIN DAN DOA KESYUKURAN 3 TAHUN PENTADBIRAN AB RAUF