Sorting by

×

BACAAN YASIN DAN DOA KESYUKURAN IRINGI 3 TAHUN PENTADBIRAN AB RAUF

Masa Membaca:1 Minit, 26 Saat

AYER KEROH 2 April – Majlis Bacaan Yasin Dan Doa Kesyukuran antara pengisian disusun sempena tiga tahun kepimpinan Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh sebagai Ketua Menteri Melaka ke-13.

Majlis bermula usai solat Maghrib berjemaah dengan bacaan Yasin, bacaan doa kesyukuran disusuli solat Isyak dan solat hajat.

Ketua Menteri ketika berucap merakamkan penghargaan kepada seluruh rakyat Melaka atas sokongan berterusan sepanjang tempoh pentadbiran beliau.

Katanya, kekuatan sebenar seorang insan bergelar pemimpin bukan terletak pada jawatan yang disandang, sebaliknya kepercayaan rakyat yang tidak pernah luntur.

“Setiap kejayaan dicapai adalah hasil kerjasama semua pihak termasuk barisan kepimpinan dan jentera pentadbiran negeri dan saya mengakui segala kekurangan adalah kelemahan diri sendiri sebagai insan biasa.

“Saya harap semoga hubungan erat antara Kerajaan Negeri dan rakyat akan terus diperkukuh demi masa depan negeri,” katanya ketika berucap pada Majlis Bacaan Yasin dan Doa Kesyukuran Peringkat Negeri Melaka Sempena 3 Tahun Kepimpinan YAB Ketua Menteri Melaka di Masjid Al-Alami, di sini, malam tadi.

Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman, barisan Exco, Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta kenamaan lain.

Pada majlis sama Ab Rauf mengambil kesempatan memohon ampun dan maaf atas segala kekurangan sepanjang memikul amanah.

Katanya, setiap usaha yang dilaksanakan adalah demi memastikan rakyat terus merasai kehadiran kerajaan yang prihatin dan bertanggungjawab.

Sebagai pemimpin negeri beliau turut mengajak semua rakyat Melaka untuk bersama-sama bermunajat dan berdoa agar keamanan dunia sentiasa terpelihara.

“Dunia kini masih berdepan pelbagai krisis dan penderitaan yang memerlukan keprihatinan bersama,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

350
Kongsi :
Previous post 34 PROJEK PR1MA DIKATEGORIKAN ‘SAKIT’ SIAP SEPENUHNYA
Next post KUTIPAN ZAKAT MELAKA MELONJAK, KEKAL SIFAR MISKIN TEGAR – KM