
‘DUA BERITA GEMBIRA SERENTAK’
SUNGAI UDANG 3 April – Dilema akibat bau busuk lebih dua dekad membelenggu penduduk taman perumahan sekitar Pusat Pelupusan Sampah Sungai Udang bakal menemui noktah selepas projek Loji Waste-to-Energy (WtE) Sungai Udang secara rasmi mula dibina menerusi majlis pecah tanah berlangsung semalam.
Wakil penduduk yang ditemui menyambut baik dan amat berterima kasih kepada semua pihak khusus Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh yang bersungguh-sungguh bagi merealisasikan projek berkenaan yang sebelum ini sekadar cadangan diatas kertas.
Lebih menggembirakan penduduk apabila Ketua Menteri mengumumkan sebuah masjid baharu akan dibina di Taman Desa Bertam, hasil sumbangan daripada Malakoff Corporation Berhad yang juga kontaktor utama Projek Loji WtE Sungai Udang.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Seri Bertam, Azmi Yahood, 58, berkata, teknologi WtE bakal mewujudkan suasana lebih bersih dan berkualiti berbangding kaedah lama yang menyumbang kepada pencemaran.
“Pembinaan loji WtE ini bakal memberikan kelegaan kepada hampir 10,000 penduduk di lebih tujuh taman perumahan sekitar kerana jarak penempatan paling hampir dengan Pusat Pelupusan Sampah Sungai Udang yang sedia ada cuma 500 meter sahaja.
“Tidak boleh tunggu atau tangguh lagi, sudah tiba masanya kita memanfaatkan teknologi untuk melestarikan alam, jika kaedah pengurusan lama masih diteruskan penduduk yang akan tanggung akibat. Saya sendiri sudah 21 tahun menghadapi macalah bau busuk, jadi perkembangan semasa ini amat bermakna untuk kami semua.
“Semua ini secara tidak langsung mencerminkan dan menterjemahkan keprihatinan Kerajaan Negeri menerusi gagasan Melaka Sayang Rakyat (MeSRa) yang dilaungkan Ketua Menteri kita,” katanya ketika ditemui pada Majlis Pecah Tanah Projek Loji WtE Sungai Udang di tapak WtE Sungai Udang, di sini, semalam.
Sementara itu mengulas mengenai pembinaan masjid baharu, Azmi berkata, kemudahan itu amat dinanti-nantikan oleh penduduk yang sebelum ini terpaksa menumpang di Masjid Sultan Muhammad V di Kompleks Penjara Sungai, Udang dan dua lagi kemudahan berhampiran di Bertam Hulu serta Bertam Setia bagi menunaikan solat Jumaat.
Menurutnya, berdasarkan perbincangan awal beliau bersama Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang, Datuk Rasi Yasin, masjid berkenaan bakal menampung antara 1,800 ke 2,000 orang jemaah pada satu-satu masa.
Manakala Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Desa Bertam, Sulaiman Abu, 63, berkata, berharap kedua-dua projek yang memberikan impak amat besar kepada komuniti sekitar berjalan dengan lancar dan disiapkan mengikut tempoh masa ditetapkan.
“Sebagai pemimpin komuniti saya kerap menerima aduan berhubung pencemaran bau daripada penduduk, insya-Allah dalam tempoh tiga tahun lagi masalah membelenggu kami akan dapat diatasi,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


