Sorting by

×

TEMPOH PENYELESAIAN MASALAH LEBIH SINGKAT, WRUR TERBUKTI MEMUDAHKAN RAKYAT

Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat

GADEK 14 April – Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) bukan sahaja mengubah birokrasi malah terbukti mampu menyelesaikan permasalahan rakyat mengikut Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam masa yang lebih singkat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gadek Datuk VP Shanmugam berkata, kaedah turun padang dan perjumpaan empat mata melibatkan rakyat dengan pemimpin, wakil agensi serta jabatan kerajaan membolehkan isu dibangkitkan dibincangkan secara terus, sekali gus diselesaikan dengan lebih cepat.

Katanya, konsep sama turut dilaksanakan sepanjang WRUR DUN Gadek kerana amat efisien dalam mencari penyelesaian permasalahan rakyat termasuk peringkat komuniti.

“Sebelum ini memang ada lawatan-lawatan, tetapi kita tidak dapat ‘on the spot approval’. Kehadiran wakil agensi dan jabatan membolehkan pelaksanaan tindakan serta kelulusan awal diberikan dalam masa singkat kerana mereka lihat sendiri seterusnya menilai permasalahan dibangkitkan.

“Bila kita turun ke lapangan, banyak perkara boleh diputuskan dengan segera. Ini memudahkan proses kelulusan dan tindakan kerana semua pihak ada bersama untuk melihat sendiri masalah rakyat,” katanya.

Beliau yang juga Exco Belia, Sukan dan NGO negeri berkata demikian ketika ditemui selepas Program Ziarah Kasih sempena WRUR DUN Gadek bersama Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri Datuk Kalsom Noordin di Pulau Sebang, Alor Gajah di sini, hari ini.

Hadir sama Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri merangkap Adun Asahan Datuk Fairul Nizam Roslan; Timbalan Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri Leng Chau Yen serta Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Melaka Halyjah Muhammad.

Shanmugam berkata, kaedah turun padang juga memudahkan rakyat kerana tidak perlu menempuh perjalanan untuk berurusan di kaunter agensi atau pejabat kerajaan.

“Orang kampung lebih gembira kerana kita bawa kepimpinan negeri ke tempat mereka, bukan orang kampung kena datang jumpa kepimpinan. Ini kelebihan WRUR yang dilaksanakan di Negeri Melaka,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

457
Kongsi :
Previous post SEKOLAH DI MELAKA DIBENAR HENTI AKTIVITI LUAR, TUTUP OPERASI JIKA SUHU TERLALU TINGGI
Next post MPHTJ PERGIAT OPERASI TURUNKAN PAPAN IKLAN HARAM