Sorting by

×

JASIN SUDAH ADA PUSAT KITAR SEMULA PANDU LALU

Masa Membaca:1 Minit, 38 Saat

JASIN 22 April – Agenda kelestarian alam sekitar kini diperkasakan di daerah Jasin dengen pembangunan sebuah fasiliti Pusat Pandu Lalu KITARecycle oleh SWM Environment Sdn Bhd.

Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri berkata, penubuhan pusat itu di Taman Muhibbah Jasin amat bertepatan dalam usaha untuk meningkatkan kesedaran dan mengubah tingkah laku masyarakat ke arah membudayakan amalan kitar semula dalam kehidupan seharian.

Apa yang lebih membanggakan, ujar beliau, fasiliti itu merupakan yang ketiga di Negeri Melaka di bawah program kitar semula berganjaran KITARecycle oleh SWM Environment, sekali gus membolehkan orang ramai menjana pendapatan hasil daripada kitar semula.

“Ini bukan sahaja menggalakkan amalan kitar semula, malah inisiatif ini turut menyediakan insentif ganjaran kepada pengguna yang boleh ditukar tunai melalui perbankan atas talian sebagai satu amalan yang bernilai, praktikal dan berdaya tarikan tinggi.

“Dengan adanya kemudahan seperti ini, masyarakat khususnya warga Jasin kini mempunyai platform yang lebih mudah, cepat, dan efisien untuk menghantar barangan kitar semula seperti kertas, plastik, botol kaca, tin aluminium dan lain-lain terus ke pusat pengumpulan kitar semula secara pandu lalu ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Pusat Pandu Lalu KITARecycle Taman Muhibbah Jasin, di sini, hari ini.

Hadir sama, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) Muhammad Zahiruddin Mohd Zahari; Pengurus Besar Korporat SWM Environment Mohd Norlisam Mohd Nordin serta lain-lain kenamaan.

Mengulas lanjut, Zulkiflee menyuarakan keyakinan kewujudan pusat kitar semula pandu lalu itu akan menjadi pemangkin kepada peningkatan kadar kitar semula, bukan sahaja di daerah Jasin, malah di seluruh Negeri Melaka.

Pada masa yang sama, beliau juga menyeru kerjasama antara agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan, sektor swasta serta masyarakat diperkukuh dalam memastikan usaha pengurusan sisa pepejal dan kelestarian alam sekitar dapat dilaksanakan secara lebih berkesan dan berimpak tinggi.

Untuk rekod, terdapat dua lagi fasiliti pusat pandu lalu ada di Negeri Melaka iaitu di Taman Botanikal Ayer Keroh dan Program perumahan Rakyat (PPR) Sungai Putat.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

348
Kongsi :
Previous post WRUR BUKTI KECEKAPAN, ISU PEMILIKAN TANAH 30 TAHUN SELESAI DALAM MASA DUA MINGGU
Next post KANAK-KANAK TIGA TAHUN POSITIF DADAH, PEMPENGARUH DITAHAN