
MALAYSIA BERALIH KE ‘BANDAR BIJAKSANA’, FOKUS KESEIMBANGAN DAN KELESTARIAN
BANDARAYA MELAKA 24 April – Malaysia kini beralih daripada konsep ‘bandar pintar’ kepada ‘bandar bijaksana’ dalam usaha memastikan pembangunan bandar lebih mampan, inklusif dan berdaya tahan.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, pendekatan itu menekankan keseimbangan antara pertumbuhan dan kelestarian, selain memastikan setiap keputusan memberi manfaat jangka panjang kepada rakyat.
Menurutnya, pembangunan bandar perlu dilaksanakan dengan penuh hikmah agar pertumbuhan tidak mengorbankan keharmonian dan kemajuan tidak menjejaskan kelestarian.
“Bandar bijaksana ialah bandar yang membuat keputusan dengan pertimbangan yang baik, mengimbangi kecekapan dengan keterangkuman serta inovasi dengan tanggungjawab,” katanya
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Kongres Dunia Eastern Organisation for Planning and Human Settlements (EAROPH) Ke-30 2026 di sebuah hotel di sini, hari ini.
Hadir sama Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh; Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Timbalan Menteri Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Datuk Aiman Athirah Sabu; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin serta Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan.
Turut hadir Ketua Setiausaha KPKT Datuk Wira Dr. M Noor Azman Taib; Timbalan Gabenor Wilayah Jawa Timur, Indonesia Dr. Emil Elestianto Dardak dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Datuk Shadan Othman.
Beliau berkata, Malaysia yang kini mempunyai hampir 80 peratus penduduk di kawasan bandar berdepan cabaran semakin kompleks termasuk tekanan pembangunan, ketidaksamaan dan perubahan iklim.
“Pembangunan bandar tidak boleh hanya dilihat dari sudut fizikal atau ekonomi semata-mata, sebaliknya perlu memberi tumpuan kepada peningkatan kualiti hidup rakyat.
“Aset bandar kini perlu dilihat secara lebih menyeluruh, merangkumi bukan sahaja infrastruktur fizikal tetapi juga sistem alam sekitar, ruang awam, warisan budaya dan infrastruktur digital.
“Semua aset ini perlu diurus secara bersepadu kerana ia menyumbang kepada kesejahteraan sosial, ketahanan ekonomi dan kelestarian alam sekitar,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


