
PELANCONG INDONESIA GEMAR ‘HEALING’ DI MELAKA
KESIDANG 11 Jun – Melaka semakin popular dalam kalangan pelancong Indonesia sebagai destinasi ‘healing’ yang merangkumi percutian santai, pelancongan kesihatan dan aktiviti rekreasi.
Pemerintah Kota Pekanbaru Dinas Kebudayaan dan Pariwisata Akmal Khairi S.Th.I.MH berkata, pembukaan semula laluan penerbangan terus Pekanbaru-Melaka disambut baik masyarakat di wilayah berkenaan yang sememangnya telah lama menantikan kemudahan tersebut.
Menurutnya, Melaka bukan sahaja menjadi destinasi rawatan kesihatan, malah turut popular dalam kalangan pelancong Pekanbaru untuk aktiviti percutian santai dan rekreasi.
“Terima kasih, Alhamdulillah kami dari Dinas Kebudayaan dan Pariwisata Pekanbaru hadir pada penerbangan pertama ke Melaka. Sebenarnya ramai masyarakat Pekanbaru memang memilih Melaka sebagai destinasi utama mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Sambutan Penerbangan Wings Air Pekanbaru ke Melaka yang disempurnakan oleh Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) Negeri Melaka Nasrul Ahmad di Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM), Batu Berendam, di sini, semalam.
Hadir sama Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) Datuk Sapiah Haron; Ketua Pegawai Eksekutif Melaka Taming Sari Berhad (MTSB), Nur Azan Hassan dan lain-lain wakil agensi serta jabatan Kerajaan Negeri.
Katanya, penerbangan tersebut yang beroperasi tiga kali seminggu iaitu setiap Rabu, Jumaat dan Ahad memberi lebih banyak kemudahan kepada pelancong untuk merancang perjalanan singkat ke Melaka.
“Dengan jadual ini, kita boleh datang pada hujung minggu, ‘healing’ di Melaka, Melaka destinasi yang dekat di hati masyarakat Pekanbaru, malah saya sendiri sering berkunjung ke negeri ini,” katanya.
Dalam pada itu, beliau juga berharap lebih ramai rakyat Malaysia khususnya dari Melaka dapat berkunjung ke Pekanbaru yang menawarkan pelbagai destinasi menarik termasuk membeli-belah, makanan dan promosi istimewa sempena sambutan ulang tahun bandar berkenaan.
“Kami juga akan menyambut ulang tahun Kota Pekanbaru tidak lama lagi dan promosi menarik disediakan di pusat beli-belah,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


