
MELAKA RANGKA 4 PROJEK STRATEGIK KUKUH BEKALAN AIR
TANJUNG BIDARA 25 April – Sekurang-kurangnya empat projek strategik dirangka Kerajaan Negeri sebagai menyokong agenda pengukuhan keselamatan dan kelestarian sumber air.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, projek-projek itu dirancang secara berfasa selaras dengan Pelan Hala Tuju Transformasi Air (AIR 2040).
Jelas beliau, projek pertama adalah penambahan kapasiti loji rawatan air, di mana ketika ini terdapat tiga projek loji rawatan air sedang dalam pembinaan dan pada masa sama, tiga lagi loji sedang dirancang sehingga tahun 2030.
“Kedua, pembinaan kolam takungan di lokasi strategik. Setakat ini sebanyak 368 buah kolam takungan sedia ada, manakala tiga lagi masih dalam perancangan, iaitu di Melaka Raya, Terminal Jasin dan Kota Laksamana.
“Projek ketiga adalah penggantian paip usang bagi mengurangkan kadar kehilangan air tidak berhasil atau Non-Revenue Water (NRW), yang kini berada pada kadar 33.6 peratus.
“Justeru, mewakili Kerajaan Negeri Melaka, saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan atas kelulusan serta peruntukan bagi Projek Penggantian Paip Usang Fasa Pertama sepanjang 20 kilometer dengan kos sebanyak RM17 juta,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sambutan Hari Air Sedunia (HAS) 2026 Peringkat Kebangsaan yang bertemakan ‘Air Milik Semua’ yang dirasmikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof di Dataran Tanjung Bidara, di sini, hari ini.
Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin serta barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri.
Yang turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) Datuk Seri Mad Zaidi Mohd Karli; Timbalan Ketua Setiausaha (Air) PETRA Datuk Mohd Rodzwan Mohd Baba Sakri; Timbalan Ketua Pengarah (Sektor Pakar) Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia Ir. Azren Khalil; serta lain-lain kenamaan.
Mengulas lanjut, Ketua Menteri berkata, Kerajaan Negeri juga telah menubuhkan Task Force Keselamatan Air yang disokong oleh rangkaian agensi-agensi berkaitan.
Jelas beliau, task force itu berfungsi untuk menyelaras respons kecemasan secara bersepadu apabila paras empangan dan sungai berada pada tahap kritikal.
“Hakikatnya, apa yang saya nyatakan ini hanyalah sebahagian daripada usaha berterusan yang sedang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri dalam memastikan setiap titisan air benar-benar sampai kepada rakyat.
“Di bawah pentadbiran saya, prinsip saya jelas, ini soal kehidupan rakyat. Air mesti cukup, air mesti stabil dan air mesti sampai kepada rakyat,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


