Sorting by

×

WRUR PARLIMEN ALOR GAJAH TARIK 14,000 PENYERTAAN, 700 ADUAN SELESAI

Masa Membaca:1 Minit, 49 Saat

MACHAP JAYA 26 April – Sokongan luar biasa warga Parlimen Alor Gajah terhadap Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) membuktikan inisiatif berkenaan terus mendapat tempat dalam kalangan masyarakat setempat.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, sebanyak 288 program berjaya dilaksanakan sepanjang penganjuran WRUR di Parlimen itu dengan lebih 14,000 penyertaan direkodkan.

“Saya teruja melihat sokongan luar biasa warga Parlimen Alor Gajah yang menyambut baik setiap program yang dilaksanakan menerusi WRUR kali ini.

“Alhamdulillah, setelah melalui satu perjalanan yang sarat dengan pengisian, inisiatif dan sentuhan kebajikan termasuk pengurusan aduan rakyat, kita berjaya menyelesaikan hampir 700 aduan daripada keseluruhan yang diterima,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Penutup Program WRUR Parlimen Alor Gajah: Kampung Kita Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap Jaya di Dewan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Machap Baru, di sini, malam tadi.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri merangkap Penyelaras WRUR Datuk Fairul Nizam Roslan; Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Machap Jaya Datuk Ngwe Hee Sem; Exco Belia, Sukan dan NGO negeri Datuk VP Shanmugam; Timbalan Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Zahari Abd Kalil serta Presiden MCA Datuk Wee Ka Siong.

Menurut beliau, pendekatan WRUR bukan sekadar menghimpunkan aduan rakyat, sebaliknya memberi penekanan kepada tindakan penyelesaian secara berkesan mengikut tatakelola kerajaan.

Katanya, pelaksanaan program itu juga berjaya mengurangkan kerenah birokrasi yang sebelum ini menjadi kekangan dalam urusan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan pelbagai inisiatif telah dilaksanakan di Parlimen Alor Gajah menerusi WRUR termasuk pembaikan cerun Empangan Jus, naik taraf bekalan air, projek mitigasi di Kampung Tanjung Rimau serta pembinaan masjid, dewan dan kemudahan awam.

Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata sambutan rakyat terhadap program itu menunjukkan keperluan kepada pendekatan pentadbiran yang lebih dekat dan responsif terhadap rakyat.

“Program ini menjadi satu instrumen pentadbiran yang dirakyatkan dan memberi impak besar apabila isu yang berlarutan sekian lama dapat diselesaikan dalam tempoh singkat.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada semua pihak termasuk rakyat, wakil rakyat dan pemimpin tempatan yang bersama-sama menjayakan WRUR ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

701
Kongsi :
Previous post ‘SMART BIN SOLAR’ MBMB SELARI AGENDA PEMBANGUNAN BANDAR PINTAR – KPKT