
‘SMART BIN SOLAR’ MBMB SELARI AGENDA PEMBANGUNAN BANDAR PINTAR – KPKT
BANDARAYA MELAKA 25 April – Inisiatif mewujudkan tong sampah pintar berkuasa solar atau ‘Solar-Powered Smart Bin’ yang diperkenalkan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) dilihat selari dengan agenda pembangunan bandar pintar (Smart City) di peringkat antarabangsa.
Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Dr. M Noor Azman Taib berkata, pendekatan itu merupakan antara usaha mengekalkan kebersihan Bandaraya Melaka pada tahap yang lebih tinggi.
Menurutnya, sebanyak 85 indikator telah diperkenalkan di bawah Pelan Malaysia KPKT dalam usaha membangunkan bandar pintar, dan sebahagian besar daripadanya telah berjaya dicapai oleh Melaka, khususnya di bawah kawasan MBMB.
“Smart Bin ini merupakan salah satu elemen dalam memastikan kebersihan berada pada tahap tinggi, selain menyokong aspek keselamatan dan pengurusan bandar yang lebih sistematik.
“Kami lihat pelbagai inisiatif lain turut diperkenalkan di kawasan ini termasuk elemen ‘Safe City’ seperti pemasangan kamera litar tertutup (CCTV), sistem pemantauan serta kemudahan kecemasan,” katanya pada sidang media selepa Majlis Penyempurnaan Penggunaan Solar-Powered Smart Bin Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah di Perkarangan Stadthuys, Banda Hilir, di sini, hari ini.
Hadir sama, Datuk Bandar MBMB, Datuk Shadan Othman; ketua-ketua jabatan dan agensi serta lain-lain kenamaan.
Mengulas lanjut, Dr. M Noor Azman turut menyokong agar penggunaan tenaga solar bagi ‘Smart Bin’ tersebut diperluaskan ke kawasan bandar lain.
“Kami menggalakkan penggunaan tenaga solar dan saya yakin perkara ini merupakan satu inisiatif yang baik kerana ia secara tidak langsung dapat menjimatkan penggunaan tenaga serta mengurangkan kos operasi berbanding penggunaan elektrik konvensional.
“Di tingkat KPKT, kami akan menyokong dan memperluaskan penggunaan inisiatif seperti ini ke bandaraya lain,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau turut memuji pelaksanaan Zon Bebas Kenderaan (Car Fee Zone) di kawasan Banda Hilir yang disifatkan memberi impak positif dari segi keselamatan dan keselesaan pelancong.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

