Sorting by

×

WRUR : ‘KAMPUNG KITA’ HIDUPKAN SEMANGAT KEBERSAMAAN DALAM KOMUNITI

Masa Membaca:1 Minit, 32 Saat

MACHAP JAYA 26 April – Konsep ‘Kampung Kita’ yang diperkenalkan menerusi Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Parlimen Alor Gajah menjadi medium penting dalam memperkukuh hubungan antara rakyat dan pentadbiran kerajaan.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, pendekatan itu menekankan semangat kebersamaan dalam komuniti melalui pelbagai aktiviti kemasyarakatan seperti gotong-royong, kenduri kampung serta interaksi langsung antara pemimpin dan rakyat.

Menurut beliau, konsep itu bukan sahaja menghidupkan kembali nilai tradisi dalam masyarakat, malah membantu merapatkan jurang antara pentadbiran dan rakyat.

“Kampung Kita ini membawa konsep kebersamaan dalam sesebuah komuniti, di mana kita menggalakkan hubungan silaturahim, semangat gotong-royong serta kebersamaan dalam setiap program yang dilaksanakan.

“Melalui pendekatan ini, kita dapat merakyatkan pentadbiran dan memastikan setiap lapisan masyarakat dapat merasai kehadiran serta peranan kerajaan secara lebih dekat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Penutup Program WRUR Parlimen Alor Gajah: Kampung Kita Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap Jaya di Dewan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Machap Baru, di sini, semalam.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri merangkap Penyelaras WRUR Datuk Fairul Nizam Roslan; Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Machap Jaya Datuk Ngwe Hee Sem; Exco Belia, Sukan dan NGO negeri Datuk VP Shanmugam; Timbalan Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Zahari Abd Kalil serta Presiden MCA Datuk Wee Ka Siong.

Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata konsep ‘Kampung Kita’ turut memberi ruang kepada rakyat untuk berinteraksi secara terus dengan pemimpin bagi menyuarakan pandangan serta menyelesaikan isu setempat dengan lebih cepat dan berkesan.

“Pendekatan berteraskan komuniti itu juga mampu memupuk semangat perpaduan dan tanggungjawab bersama dalam kalangan masyarakat setempat, sekali gus menjadikan program WRUR lebih berimpak dan menyentuh keperluan sebenar rakyat,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

391
Kongsi :
Previous post WRUR PARLIMEN ALOR GAJAH TARIK 14,000 PENYERTAAN, 700 ADUAN SELESAI
Next post WRUR MENYUSURI KISAH, MENGANGKAT HARAPAN RAKYAT – AB RAUF