Sorting by

×

MELAKA INDUSTRIAL BOOSTER PERCEPAT KELULUSAN 39 PROJEK BERNILAI RM400 JUTA

Masa Membaca:1 Minit, 7 Saat

SERI NEGERI 27 April – Melaka Industrial Booster menjadi antara inisiatif Kerajaan Negeri yang memberi impak besar dalam menjadikan negeri ini sebagai destinasi pilihan pelabur.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, menerusi Melaka Industrial Booster, ia membantu dalam mempercepatkan kelulusan projek oleh pelabur.

“Impak inisiatif ini dapat dilihat apabila sehingga Mac 2026, sebanyak 57 projek telah diproses dengan 39 projek telah diluluskan dasar melibatkan jumlah pelaburan melebihi RM400 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ucapan Usul Terima Kasih Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Melaka pada Persidangan Pertama Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Kelima Belas, di sini, hari ini.

Menurut Ketua Menteri, bagi memastikan Melaka terus kekal sebagai destinasi pelaburan yang kompetitif, Kerajaan Negeri tidak berhenti di takuk lama, sebaliknya sedang melangkah lebih jauh, membuka ruang baharu dan membina peluang baharu.

Baru-baru ini, jelas beliau, telah diadakan pecah tanah projek pembangunan Enrique of Malacca Shipyard, yang bakal menjadi shipyard terbesar di negeri ini di kawasan berkeluasan 42.3 ekar bernilai RM180 juta.

“Projek ini bukan sekadar pelaburan fizikal, tetapi pelaburan kepada tenaga manusia dengan jangkaan lebih 1,500 peluang pekerjaan berkemahiran tinggi.

“Ini bermakna anak Melaka juga tidak lagi perlu berhijrah mencari rezeki jauh dari negeri sendiri kerana peluang kini sedang dibina di tanah kelahiran mereka sendiri,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

334
Kongsi :
Previous post 4 TANAH PERKUBURAN MELAKA SEDANG JALANI TRANSFORMASI KUBUR DIGITAL
Next post LEBIH 90,000 ANAK MELAKA TERIMA MANFAAT BANTUAN PENDIDIKAN