Sorting by

×

LEBIH 90,000 ANAK MELAKA TERIMA MANFAAT BANTUAN PENDIDIKAN

Masa Membaca:1 Minit, 32 Saat

SERI NEGERI 27 April – Lebih 90,000 anak Melaka menerima manfaat menerusi pelbagai bantuan pendidikan yang disediakan Kerajaan Negeri sepanjang tiga tahun pentadbiran.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, inisiatif itu adalah manifestasi komitmen dalam memperkasakan agenda pendidikan di Negeri Melaka.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri konsisten dalam meletakkan pendidikan sebagai keutamaan kerana bagi pentadbiran ini anak-anak Melaka merupakan golongan penting untuk masa depan negeri ini.

“Justeru itu dalam tempoh tiga tahun pentadbiran pelbagai inisiatif telah digerakkan yang mana sehingga kini lebih 90,000 anak-anak Melaka telah menerima manfaat daripada pelbagai program serta bantuan disediakan.

“Antaranya kita bantu persiapan awal persekolahan khususnya kepada keluarga B40, tuisyen percuma Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan turut diperkenalkan inisiatif Bijak SPM serta turut disalurkan elaun khas KAFA.

“Ini lah gagasan yang kita maksudkan dengan gagasan Melaka Sayang Rakyat. Ia bukan sekadar slogan malah komitmen yang dizahirkan melalui tindakan nyata yang benar-benar menyentuh kehidupan rakyat di setiap peringkat,” katanya.

Terdahulu Ketua Menteri menyempurnakan Majlis Apresiasi Pelajar Cemerlang SPM STtraight A+ Tahun 2025 Dan Majlis Simbolik Penyampaian Sumbangan Cat Kepada Sekolah Terpilih Mengikut DUN Sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR), di Auditorium Seri Negeri, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman; Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rosli Abdullah dan Pengurus Besar TAPEM, Abdul Aziz Baba.

Menurut Ketua Menteri, usaha memperkasakan agenda pendidikan diteruskan lagi menerusi penyerahan sumbangan cat kepada sekolah-sekolah yang terpilih di seluruh negeri Melaka.

“Inisiatif di bawah program WRUR ini melibatkan wakil satu sekolah dari setiap 28 DUN yang membabitkan jumlah peruntukan keseluruhan sebanyak RM100,000.

“Kos yang diperuntukan itu adalah untuk membiayai kerja-kerja mengecat semula bangunan sekolah yang terpilih,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

308
Kongsi :
Previous post MELAKA INDUSTRIAL BOOSTER PERCEPAT KELULUSAN 39 PROJEK BERNILAI RM400 JUTA
Next post KRISIS TENAGA: MELAKA PERKENAL SUBSIDI KOS BAJAK RM30 PER EKAR