Sorting by

×

KRISIS TENAGA: MELAKA PERKENAL SUBSIDI KOS BAJAK RM30 PER EKAR

Masa Membaca:1 Minit, 7 Saat

SERI NEGERI 27 April – Subsidi kos bajak pada kadar RM30 bagi setiap ekar diharap dapat membantu pesawah di negeri ini untuk terus beroperasi berikutan kenaikan harga diesel susulan krisis Asia Barat.

Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, krisis berkenaan menyebabkan kos bajak ketika ini meningkat antara 40 hingga 60 peratus, sekali gus memberikan tekanan kepada pesawah.

“Kita berharap inisiatif ini akan membantu mengurangkan bebanan kos terpaksa ditanggung pesawah. Kerajaan Negeri ambil maklum apabila berlaku krisis hari ini (Krisis Asia Barat), kita tidak seharusnya bergantung sepenuhnya kepada Kerajaan Persekutuan semata-mata.

“Bantuan daripada Kerajaan Negeri mesti dilaksanakan juga, sehubungan itu, kita akan melancarkan inisiatif ini untuk meringankan bebanan pesawah di Melaka,” katanya pada sidang media selepas Persidangan Pertama Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Kelima Belas, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Muhamad Akmal berkata pelaksanaan subsidi kos bajak itu akan diselaraskan oleh Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dan menggunakan peruntukan disalurkan oleh Kerajaan Negeri.

“Inisiatif ini juga melengkapi bantuan yang telah diumumkan oleh Kerajaan Persekutuan, termasuk kenaikan kadar bantuan namun Kerajaan Negeri mengambil pendekatan tambahan bagi memastikan pesawah di Melaka terus dibantu secara menyeluruh.

“Berdasarkan situasi ekonomi semasa, usaha bersama antara Kerajaan Negeri dan Persekutuan amat penting bagi menjamin kelangsungan sektor padi serta kestabilan bekalan makanan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

311
Kongsi :
Previous post LEBIH 90,000 ANAK MELAKA TERIMA MANFAAT BANTUAN PENDIDIKAN
Next post BANTUAN ‘ONE-OFF’ RM300 KEPADA PEKEBUN KECIL BERDAFTAR DI BAWAH FAMA MELAKA