
SMK GHAFAR BABA SEKOLAH PERINTIS DOMAIN E-EMEL @MELAKA.MY
SERI NEGERI 27 April – Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ghafar Baba, Masjid Tanah bakal menjadi sekolah perintis kepada penggunaan domain e-mel rasmi negeri, @melaka.my, dalam usaha memperkukuh sistem komunikasi dan pentadbiran pendidikan yang lebih sistematik.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, menerusi inisiatif itu penjaga dan pelajar akan dibekalkan dengan akaun e-mel menerusi sekolah masing-masing, sekali gus menjadi satu lagi inisiatif digital yang diperkenalkan Kerajaan Negeri.
Jelas beliau, apabila dilaksanakan kelak setiap keluarga akan memiliki satu akaun e-mel yang boleh digunakan sebagai medium rasmi komunikasi dengan pihak sekolah.
“Sebelum ini saya ada memaklumkan bahawa SMK Ghafar Baba akan menjadi sekolah perintis kepada [email protected] yang mana e-mel akan diberikan kepada penjaga dan murid menerusi sekolah.
“Menerusi pelaksanaan ini Kerajaan Negeri menawarkan e-mel percuma kepada penjaga yang di bawahnya mempunyai empat orang anak dan ia digunakan sebagai medium komunikasi dengan pihak sekolah.
“Melalui e-mel ini, guru boleh berhubung terus dengan penjaga, mengemas kini kehadiran murid, selain memudahkan penyampaian maklumat penting berkaitan persekolahan termasuk kad laporan akademik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap Majlis Apresiasi Pelajar Cemerlang SPM STRAIGHT A+ Tahun 2025 Dan Majlis Simbolik Penyampaian Sumbangan Cat Kepada Sekolah Terpilih Mengikut DUN Sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR), di Auditorium Seri Negeri, di sini, hari ini.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman dan Timbalannya Datuk Rosli Abdullah serta Pengurus Besar Tabung Amanah Pendidikan Melaka (TAPEM), Abdul Aziz Baba.
Menurut Ketua Menteri, pelaksanaan itu juga membolehkan data komunikasi diselaraskan dengan lebih teratur, disamping membuka ruang kepada penambahbaikan sistem pentadbiran sekolah secara menyeluruh.
“Menerusi pelaksanaan ini Melaka akan mendahului kaedah sistem pentadbiran sekolah teratur, terancang dan lebih baik dari sekolah lain di Malaysia.
“Kita akan memanggil semua sekolah untuk perjumpaan dalam usaha mendigitalkan sekolah selain pelaksanaan ini akan diuruskan oleh Bahagian Teknologi Maklumat dan Komunikasi (BTMK) sebelum dilancarkan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


