Sorting by

×

PENGHARGAAN KERAJAAN NEGERI SUNTIK SEMANGAT PELAJAR CEMERLANG MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 25 Saat

SERI NEGERI 28 April – Penghargaan Kerajaan Negeri kepada pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bukan sahaja mengiktiraf kejayaan mereka malah memberi dorongan motivasi untuk terus cemerlang pada masa depan.

Bagi Pelajar Cemerlang SPM 2025, Miza Zuhriena Mohd Zahir berkata, usaha Kerajaan Negeri menyantuni pelajar cemerlang memberi kesan positif kerana secara tidak langsung dapat meningkatkan semangat serta mendorong untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan dalam bidang akademik.

“Terima kasih kepada Kerajaan Negeri kerana menyantuni dan memberi insentif kami sudah pasti ini memberikan semangat serta motivasi untuk terus membuat yang terbaik.

“Malah pendekatan ini juga mampu menjadi inspirasi kepada calon yang lain untuk berusaha dan belajar bersungguh-sungguh,” katanya juga bekas pelajar Sekolah Menengah Sains Alor Gajah.

Terdahulu, dia ditemui selepas Majlis Apresiasi Pelajar Cemerlang SPM STRAIGHT A+ Tahun 2025 Dan Majlis Simbolik Penyampaian Sumbangan Cat Kepada Sekolah Terpilih Mengikut DUN Sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR), yang disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di Auditorium Seri Negeri, di sini, semalam.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman dan Timbalannya Datuk Rosli Abdullah serta Pengurus Besar Tabung Amanah Pendidikan Negeri Melaka (TAPEM) Abdul Aziz Baba.

Nada sama turut disuarakan seorang lagi pelajar cemerlang Nurnayli Farisah Noorazizi, 18, yang bukan sahaja teruja malah terharu kerana pertama kali menerima penghargaan seumpama itu kerana disifatkan amat bermakna.

“Penghargaan ini bukan sahaja menjadi satu bentuk pengiktirafan malah turut menjadi inspirasi dan motivasi untuk terus berusaha dengan lebih cemerlang pada hadapan.

“Sumbangan ini amat bermakna kerana sedikit sebanyak membantu meringankan perbelanjaan untuk saya membuat persiapan membeli barangan keperluan untuk melanjutkan pengajian nanti,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

378
Kongsi :
Previous post NELAYAN MELAKA BAKAL TERIMA CARUMAN KHAIRAT KEMATIAN
Next post MASIH RAMAI BELIA MELAKA TERJEBAK DENGAN DADAH