
MASIH RAMAI BELIA MELAKA TERJEBAK DENGAN DADAH
SERI NEGERI 28 April – Belia berusia 19 hingga 39 tahun menjadi golongan yang paling ramai terjebak dengan penyalahgunaan dadah di negeri ini.
Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem berkata, setakat Januari hingga Mac 2026, seramai 1,072 klien telah direkodkan menjalani Rawatan dan Pemulihan Dalam Komuniti (RPDK), di mana ia merangkumi 638 kes baharu dan 434 kes berulang.
Daripada jumlah itu, jelas beliau, seramai 659 orang atau bersamaan 61.5 peratus merupakan golongan muda.
“Walaupun situasi penyalahgunaan dadah di Melaka pada 2026 terkawal, namun ia masih memerlukan perhatian serius dan tindakan supaya situasi ini tidak mencetuskan kebimbangan besar kepada masyarakat dan negara.
“Lebih-lebih lagi kita melihat golongan belia menjadi antara yang masih terdedah dan ini memerlukan intervensi secara berterusan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Adly Zahari (PH-Bukit Katil) mengenai situasi penyalahgunaan dadah di Melaka pada Persidangan Pertama Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Kelima Belas, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Hee Sem berkata, berdasarkan data klien RPDK, antara jenis dadah yang paling banyak dikesan adalah daripada jenis methamphetamine atau syabu.
Namun begitu, beliau memaklumkan, mengikut trend semasa, dadah jenis baharu iaitu New Psychoactive Substance (NPS) menjadi antara cabaran besar dalam masalah penyalahgunaan dadah di negeri ini.
“Perubahan corak penyalahgunaan dadah ini perlu diberi perhatian serius kerana ia boleh memberi kesan bukan sahaja kepada kesejahteraan komuniti, bahkan turut boleh menjejaskan pembangunan negeri.
“Oleh itu, tindakan berterusan akan dilakukan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) termasuklah menerusi pelbagai program advokasi dan kempen kesedaran, selain turut bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pelbagai agensi dalam melaksanakan penguatkuasaan operasi bersepadu secara berkala,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


