
MAIM KAWAL SELIA 246.585 HEKTAR TANAH PERKUBURAN
SERI NEGERI 28 April – Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) mengawal selia 246.585 hektar tanah perkuburan Islam di negeri ini.
Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri berkata, secara keseluruhan terdapat 545 lot tanah perkuburan Islam dan daripada jumlah itu sebanyak 202 lot berada di bawah pemilikan MAIM.
Selain itu, beliau berkata, sebanyak 331 lot lagi merupakan tanah yang diwakaf secara lisan kepada pentadbir masjid kariah dalam kategori kubur keluarga (individu), manakala lapan lot diperuntukkan di dalam Rancangan Tempatan (RT) Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan empat lot lagi diperuntukkan untuk cadangan kubur berpusat.
“MAIM kini sedang melaksanakan usaha pemutihan dan pengemaskinian data tanah perkuburan Islam secara menyeluruh di Negeri Melaka.
“Inisiatif ini bertujuan memastikan rekod yang lebih tepat, tersusun dan komprehensif, sekali gus memperkukuh perancangan, pengurusan serta penyediaan tanah perkuburan yang lebih sistematik dan mampan bagi memenuhi keperluan semasa dan masa hadapan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Kerk Chee Yee (PH-Ayer Keroh) mengenai status tanah perkuburan yang masih tersedia di Negeri Melaka pada Persidangan Pertama Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Kelima Belas, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Rais berkata, memandangkan kebanyakan lot tanah perkuburan yang ada merupakan tanah-tanah yang diwakafkan secara lisan dan belum didaftarkan, MAIM kini sedang giat menggalakkan pemilik tanah atau pewakaf untuk melaksanakan wakaf pindah milik terus bagi tujuan tanah perkuburan Islam.
“Pada masa yang sama, pengurusan masjid juga disarankan mewujudkan lejar saham wakaf serta memohon kebenaran kutipan khairat bagi membiayai perolehan tanah perkuburan baharu.
“Bagi tanah berstatus milik kerajaan, MAIM akan menguruskan proses permohonan dan sekiranya berjaya bayaran premium akan dikenakan berdasarkan keluasan tanah,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


