Sorting by

×

MELAKA PERKENAL TABUNG AMANAH PERKUBURAN

Masa Membaca:1 Minit, 33 Saat

SERI NEGERI 28 April – Kerajaan Negeri memperkenalkan pendekatan baharu dengan menubuhkan Tabung Amanah Perkuburan bagi memastikan pengurusan tanah perkuburan di Melaka lebih cekap serta berdaya tahan.

Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin berkata, inisiatif strategik dibawah gagasan Melaka Sayang Rakyat (MeSRa) itu bertujuan memastikan perancangan penyediaan tanah perkuburan dilaksanakan secara lebih sistematik serta bersepadu.

Katanya, pelbagai pendekatan dan kaedah dilaksanakan Kerajaan Negeri bagi menangani masalah tapak perkuburan termasuk sebagai langkah persediaan menghadapi peningkatan populasi yang dijangka mencecah 1.5 juta menjelang 2035.

“Dua tabung berkenaan merangkumi Tabung Amanah Perkuburan Islam Berpusat Negeri Melaka yang diuruskan kerajaan negeri menerusi Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) dan Tabung Amanah Perkuburan Selain Islam Negeri Melaka pula dikelolakan oleh Jawatankuasa Rumah Penyembahan Selain Islam (RPSI).

“Jumlah terkumpul bagi kedua-dua tabung setakat ini adalah berumlah RM1.27 juta dan daripada jumlah itu sebanyak RM979,324 dikumpul menerusi Tabung Amanah Perkuburan Islam Berpusat Negeri Melaka.

“Kegunaan tabung ini antaranya adalah untuk mengenal pasti serta memperoleh tapak atau tanah baharu yang sesuai dijadikan tanah perkuburan, digunakan untuk kos pengambilan tanah dan menaik taraf infrastruktur,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paya Rumput berkata demikian di sidang media pada Persidangan Pertama Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Kelima Belas, di sini, hari ini.

Menurut Rais, pihak pemaju yang ingin membangunkan taman perumahan baharu yang mempunyai kapasiti penduduk 5,000 keatas juga diminta untuk menyediakan tanah perkuburan seluas kira-kira 1 hektar.

“Manakala bagi projek taman perumahan baharu yang mempunyai 5,000 penduduk kebawah pula pemaju perlu membayar setiap satu unit pembangunan bernilai RM1,030 kepada Tabung Kubur Negeri Melaka,” katanya.

Jelasnya, kadar caruman ini ditetapkan sebagai sebahagian daripada makanisme sumbangan pembangunan bagi memastikan keperluan tanah perkuburan di Melaka dapat dirancang, disedia serta diuruskan secara berterusan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

286
Kongsi :
Previous post DADAH: 5,411 PELAJAR MELAKA JALANI SARINGAN AIR KENCING
Next post MAIM KAWAL SELIA 246.585 HEKTAR TANAH PERKUBURAN