Sorting by

×

DADAH: 5,411 PELAJAR MELAKA JALANI SARINGAN AIR KENCING

Masa Membaca:1 Minit, 12 Saat

SERI NEGERI 28 April – Seramai 5,411 pelajar sekolah menengah di Melaka telah menjalani saringan air kencing bagi mengesan penyalahgunaan dadah pada tahun 2023 hingga 2025.

Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem berkata, daripada jumlah itu, seramai 1,526 pelajar dari 56 buah sekolah disaring pada 2023, diikuti 1,405 pada 2024 dan tahun lalu membabitkan seramai 2,480 pelajar.

Jelas beliau, daripada saringan tersebut, dua pelajar didapati positif dadah pada 2023 dan masing-masing satu direkodkan positif dadah pada 2024 dan 2025, di mana ia membabitkan pelajar lelaki.

“Langkah saringan di sekolah ini diambil bagi mengawal kes penyalahgunaan dadah di sekolah oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Negeri Melaka.

“Dalam tempoh tiga tahun ini, jumlah kes positif menunjukkan penurunan, namun langkah pencegahan dan kempen kesedaran akan terus dipergiatkan bagi mengelakkan golongan muda ini terbabit dengan penyalahgunaan dadah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Persidangan Pertama Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Kelima Belas, di sini, hari ini.

Menurut Hee Sem, antara cabaran utama yang dikesan adalah membabitkan trend rokok elektronik atau vape dalam kalangan generasi muda.

Jelasnya, trend itu dilihat membimbangkan ekoran terdapat kandungan cecair mengandungi dadah yang tidak dapat dikesan menerusi saringan air kencing.

“Atas faktor itu, kita meneruskan usaha untuk mengangkat kertas cadangan bagi pengharaman vape yang kini sedang menunggu untuk dibentangkan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKKN),” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

245
Kongsi :
Previous post PECAH TANAH BLOK WANITA DAN KANAK-KANAK HOSPITAL MELAKA HUJUNG TAHUN INI
Next post MELAKA PERKENAL TABUNG AMANAH PERKUBURAN