Sorting by

×

PECAH TANAH BLOK WANITA DAN KANAK-KANAK HOSPITAL MELAKA HUJUNG TAHUN INI

Masa Membaca:1 Minit, 5 Saat

SERI NEGERI 28 April – Pembinaan Blok Wanita dan Kanak-Kanak (WCC) Hospital Melaka dijangka akan bermula hujung tahun ini selepas majlis pecah tanahnya disempurnakan.

Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem berkata, projek yang menerima peruntukan rolling plan 3 (RP 3) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) itu telah dibuka sebut harga pada 18 November tahun lalu dan tarikh tutup iklan berkenaan adalah pada 30 April ini.

Jelas beliau, selepas ditutup, penyerahan surat setuju terima (SST) kepada kontraktor yang berjaya dijangka akan diadakan pada 24 September tahun ini.

“Ada yang bertanya kenapa projek ini mengalami kelewatan dan sebagainya, namun ini bukanlah disebabkan oleh Kerajaan Negeri, sebaliknya ia merupakan projek persekutuan di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Manakala sebut harga pula di bawah kuasa Kementerian Kerja Raya (KKR) dan kita jangkakan SST akan diserahkan pada September dan pecah tanah dapat dilakukan hujung tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Persidangan Pertama Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Kelima Belas, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Hee Sem memaklumkan, projek tersebut dijangka mengambil masa empat hingga lima tahun untuk disiapkan kerana ia merangkumi perobohan bangunan lama dan pembinaan semula.

“Jika ia mengikut perancangan, projek ini dijangka siap pada 2031,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

683
Kongsi :
Previous post MELAKA MILIKI 7,374 AHLI SKUAD AADK
Next post DADAH: 5,411 PELAJAR MELAKA JALANI SARINGAN AIR KENCING