Sorting by

×

MELAKA SASAR TAMBAH DUA AMBULANS SETIAP TAHUN

Masa Membaca:1 Minit, 35 Saat

SERI NEGERI 28 April – Kerajaan Negeri menyasarkan penambahan sekurang-kurangnya dua buah ambulans setiap tahun bagi memperkukuh perkhidmatan kecemasan di Melaka.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, usaha berterusan itu akan dilaksanakan secara berperingkat melalui kerjasama agensi berkaitan bagi manfaat rakyat.

“Kita akan berusaha pada setiap tahun untuk menambah baik lagi dan mungkin setiap tahun kita akan ada dua ambulans yang kita akan beri kepada agensi-agensi ini untuk kepentingan rakyat.

“Hanya ada di Melaka, di bawah naungan payung besar Melaka Sayang Rakyat (MeSRa). Insya-Allah kita akan berusaha untuk menambah ambulans ini setiap tahun, mungkin satu atau dua buah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Negeri Melaka dengan St John Ambulans Malaysia (SJAM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Melaka di Seri Negeri, di sini, hari ini.

Hadir sama Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem serta barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri.

Turut bersama, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan) Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Datuk Ismail Mohd Zawawi; Pengarah APM Melaka Lt.Kol (PA) Kamarulsyah Muslim dan Pemerintah Agung St John Ambulance Malaysia Datuk Lai See Ming.

Yang turut hadir, Datuk Bandar MBMB Datuk Shadan Othman; Yang Dipertua MPHTJ Datuk Sapiah Haron; Yang Dipertua MPAG Datuk TPr. Saifuddin Abdul Karim dan Yang Dipertua MPJ Muhammad Zahiruddin Mohd Zahari.

Jelasnya, Melaka akan terus bergerak ke arah negeri yang lebih sejahtera, makmur dan lestari di bawah gagasan MeSRa yang menekankan kesejahteraan serta keprihatinan terhadap rakyat.

“Kita tidak mahu lagi berbicara soal respons kecemasan yang lambat, apatah lagi mendengar keluhan rakyat yang menunggu bantuan dalam saat-saat genting,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

282
Kongsi :
Previous post DULU ‘KAWASAN MERAH’, KINI GUNUNG EMAS
Next post YB ALONG SEJAHTERAKAN WARGA FELDA BUKIT SENGGEH