
MELAKA KENAL PASTI 29 TAPAK BAGI PEMBANGUNAN ASPIRASI MELAKA GEOPARK
SERI NEGERI 29 April – Sebanyak 29 lokasi geotapak di negeri ini dikenal pasti untuk diangkat sebagai produk pelancongan baharu, sekali gus memperkukuh pembangunan Aspirasi Melaka Geopark ke arah penarafan di peringkat kebangsaan.
Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman berkata, tapak-tapak berkenaan melibatkan tiga daerah utama iaitu Jasin, Alor Gajah dan Melaka Tengah.
Menurut beliau, daripada jumlah itu, lapan lokasi dikenal pasti di Alor Gajah dan lapan lagi di Melaka Tengah, manakala selebihnya berada di daerah Jasin.
“Sebanyak 29 tapak ini telah dikenal pasti untuk diangkat bagi mendapatkan kelulusan peringkat Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), sekali gus memperkenalkan satu lagi produk pelancongan baharu di Melaka.
“Geopark ini mempunyai pengikut dan peminat tersendiri dan kita yakin ia mampu menarik lebih ramai pelancong ke negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Persidangan Pertama Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Kelima Belas, di sini, hari ini.
Tambahnya, antara lokasi yang dicadangkan termasuk kawasan pulau, formasi batuan dan bukit seperti Pulau Besar, Pulau Serimbun, Bukit Beruang, Pulau Upih, Pulau Peringgit, Pulau Burung serta Bukit Larang di Melaka Tengah.
“Selain itu, di daerah Jasin pula melibatkan lokasi seperti Pulau Hanyut dan Air Terjun Batang Melaka yang turut mempunyai nilai geologi dan warisan tersendiri.
“Geopark ini akan diselaraskan di bawah pentadbiran pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini bagi memastikan pengurusan yang lebih tersusun dan berkesan,” katanya.
Menurutnya, menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Geopark Kebangsaan di peringkat kementerian, NRES bersetuju memperakukan hasrat Kerajaan Negeri untuk disenaraikan sebagai Aspirasi Melaka Geopark.
Berikutan itu, katanya, Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) turut meluluskan penubuhan jawatankuasa sebagai persiapan ke arah penilaian oleh NRES.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


