Sorting by

×

‘MELAKA WATER MUSIC FESTIVAL’ TONJOL KONSEP TRADISIONAL, BUDAYA TEMPATAN

Masa Membaca:1 Minit, 10 Saat

SERI NEGERI 29 April – Melaka Water Music Festival 2026 atau Festival Muzik Air Melaka 2026 dijadualkan berlangsung pada 1 hingga 3 Mei ini dijangka lebih bertenaga dengan menampilkan konsep berteraskan tradisional dan budaya tempatan.

Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman berkata pendekatan itu bertujuan mengetengahkan keunikan warisan pelbagai kaum di Melaka selain membezakannnya dengan penganjuran di tempat lain.

Abdul Razak berkata, antara pengisian aktiviti berasaskan air yang disusun adalah larian berkonsepkan pakaian tradisional, permainan rakyat seperti konda-kondi, pelbagai aktiviti sukan dan riadah.

“Kita tekankan konsep tradisional yang mana peserta akan mengenakan pakaian seperti tengkolok dan sampin, berbeza dengan festival air di luar negara yang lebih berunsurkan budaya barat.

“Melaka kaya dengan kepelbagaian budaya seperti Portugis, Baba Nyonya dan Chetti, semua ini akan kita ketengahkan dalam penganjuran festival ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Persidangan Pertama Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Kelima Belas, di sini, hari ini.

Tambahnya, festival tersebut turut menampilkan pelbagai aktiviti lain seperti festival makanan, pertandingan bola sepak, gusti tangan, persembahan kebudayaan, zumba serta kejohanan bola tampar pantai.

Katanya, penganjuran yang berlangsung di kawasan Pantai Klebang dan Dataran 1Malaysia itu dijangka mampu menarik kehadiran pengunjung tempatan serta pelancong asing.

Sehubungan itu, beliau mengajak orang ramai untuk hadir memeriahkan Festival Air Melaka yang mengetengahkan konsep tradisional dan warisan tempatan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

268
Kongsi :
Previous post AB RAUF MAHU DAPATKAN HOSPITAL BAHARU DI MELAKA
Next post MELAKA BERI BIASISWA ANAK ORANG ASLI CEMERLANG SPM