Sorting by

×

MELAKA BERI BIASISWA ANAK ORANG ASLI CEMERLANG SPM

Masa Membaca:1 Minit, 15 Saat

SERI NEGERI 29 April – Kerajaan Negeri mengumumkan Bantuan Khas Pendidikan kepada anak-anak Melaka daripada komuniti Orang Asli yang cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, bantuan khas itu berupa tawaran biasiswa Tabung Amanah Pendidikan Melaka (TAPEM) bagi melanjutkan pengajian di Universiti Islam Melaka (UNIMEL).

“Justeru, saya merakamkan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada tiga permata anak Melaka Komuniti Orang Asli iaitu Alsyiqa Ilyas dari SMK Simpang Bekoh; Nur Afiera Aisyah dari SMK Dol Said; dan Nurul Anis dari SMK Selandar.

“Mereka ini bukan sekadar pelajar cemerlang… mereka adalah lambang bahawa kekuatan tekad mampu mengatasi segala kekangan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada ucapan gulung penangguhan pada Persidangan Pertama Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Kelima Belas, di sini, hari ini.

Menurut Ketua Menteri, berdasarkan laporan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), seramai 19 orang anak Orang Asli dari Melaka sedang melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi.

Jelas beliau, angka itu bukan angka biasa, sebaliknya ia merupakan gelombang kebangkitan masa depan buat Negeri Melaka.

“Ingin saya tegaskan, anak-anak Melaka daripada komuniti Orang Asli bukan sahaja berpotensi, malah telah membuktikan kehebatan di pentas dunia!

“Lihatlah kejayaan Dr. Saiful Anuar, anak Orang Asli dari Kampung Orang Asli Lubuk Bandung, Melaka yang kini mengetuai penyelidikan klinikal di Amerika Syarikat.

“Kerajaan negeri percaya, apabila kita beri peluang dan sokongan… mereka pasti mencipta kejayaan. Dan, apabila mereka berjaya… Melaka akan terus melakar masa depan yang lebih gemilang,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

245
Kongsi :
Previous post ‘MELAKA WATER MUSIC FESTIVAL’ TONJOL KONSEP TRADISIONAL, BUDAYA TEMPATAN
Next post PENDUDUK PONDOK BATANG NIKMATI KEMUDAHAN SELESA