Sorting by

×

MPHTJ ARAH PEMAJU HENTI OPERASI SUSULAN BANJIR LUMPUR

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

AYER KEROH 30 April – Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) mengarahkan sebuah syarikat pemaju menghentikan kerja pembangunan susulan kejadian banjir lumpur yang menjejaskan kira-kira 50 penduduk di Kampung Gapam, petang semalam.

Yang Dipertua MPHTJ Datuk Sapiah Haron berkata, selain menghentikan kerja pembangunan pihak syarikat terbabit juga dikenakan kompaun sebanyak RM50,000.

“Akibat hujan lebat petang semalam, sebanyak 10 buah rumah di Kampung Gapam dilanda banjir lumpur dipercayai akibat daripada projek pembangunan yang sedang berjalan berdekatan kawasan tersebut.

“Susulan itu MPHTJ sudah mengarahkan kerja pembangunan dihentikan supaya pihak pemaju dapat menjalankan kerja pembaikan termasuk memastikan kolam takungan lumpur berada dalam keadaan baik.

“Pihak pemaju juga diminta untuk membersihkan kampung dan rumah yang terlibat termasuk membayar sejumlah pampasan kepada penduduk yang terkesan,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penutup Kempen Kebersihan Dan Baik Pulih Rumah Bersempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Keroh, di Kampung Sungai Putat, hari ini.

Terdahulu majlis disempurnakan oleh Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Zulkiflee Mohd Zin dan turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Keroh Kerk Chee Yee serta Setiausaha MPHTJ Mohd Faizal Mohd Zin.

Menurut Sapiah, tempoh selama seminggu diberikan kepada pihak pemaju untuk menyelesaikan semua kerja pembaikan dan pembersihan sebelum kebenaran untuk kerja pembangunan diberikan.

“Kerja pembangunan akan dibenarkan selepas kita mendapati semua kerja pembaikan termasuk rumah dan kampung terlibat sudah dibersihkan sepenuhnya begitu juga dengan kolam takungan lumpur.

“Ini kerana sebelum sesuatu pembangunan bermula atau dijalankan pihak berkuasa tempatan (PBT) sudah memaklumkan kepada pemaju supaya memastikan kolam takungan lumpur yang disediakan berada dalam keadaan baik bagi mengelakkan perkara sebegini terjadi” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

734
Kongsi :
Previous post WRUR AYER KEROH: DEWAN TERBUKA RANCAKKAN AKTIVITI KOMUNITI SUNGAI PUTAT