Sorting by

×

WRUR: MPHTJ PERKASA KESEJAHTERAAN, CAKNA KEBAJIKAN WARGA DUN AYER KEROH

Masa Membaca:1 Minit, 14 Saat

AYER KEROH 1 Mei – Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) antara agensi utama Kerajaan Negeri yang bersama-sama turun padang bagi menyantuni warga Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Keroh bersempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR).

Yang Dipertua MPHTJ Datuk Sapiah Haron berkata, penglibatan aktif dalam WRUR membuktikan pihaknya amat cakna dan prihatin terhadap aspek kebajikan penduduk di DUN berkenaan.

Jelasnya perjumpaan tanpa terlalu mengikut protokol juga sebenarnya amat membantu unit berkenaan dalam MPHTJ untuk memberikan perkhidmatan secara lebih menyeluruh dan melakukan perancangan melibatkan aspek pembangunan sosial penduduk pada masa hadapan.

“Kami juga memanfaatkan WRUR untuk meningkatkan lagi tahap kesedaran penduduk berhubung aspek kebersihan menerusi kempen dan program yang sudah disusun.

“Malah bagi mendekati rakyat warga MPHTJ juga turun padang untuk bergotong-royong mengecat, menukar bumbung bocor dan menyampaikan bakul makanan kepada penerima bantuan yang sudah dikenal pasti,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penutup Kempen Kebersihan Dan Baik Pulih Rumah Bersempena WRUR DUN Ayer Keroh, di Kampung Sungai Putat, semalam.

Terdahulu majlis disempurnakan oleh Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Zulkiflee Mohd Zin dan turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Keroh Kerk Chee Yee serta Setiausaha MPHTJ Mohd Faizal Mohd Zin.

Katanya, pada majlis itu pihaknya membaik pulih kediaman didiami Muhammad Zain Kamaruddin, 34, yang sudah uzur.

“Ini adalah antara inisiatif dilaksanakan MPHTJ bagi membantu meningkatkan lagi kualiti hidup dan kesejahteraan rakyat tinggal dalam kawasan pentadbiran kami,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

364
Kongsi :
Previous post MPHTJ ARAH PEMAJU HENTI OPERASI SUSULAN BANJIR LUMPUR
Next post DEWAN TERBUKA DILENGKAPI GELANGGANG ‘PICKLEBALL’ SIAP HUJUNG JUN 2026