
GASING PANGKAH IDENTITI FELDA BUKIT SENGGEH
ASAHAN 4 Mei – Gelanggang gasing pangkah yang dulunya uzur dan bocor kini tersergam indah dan lebih moden selepas kerja naik taraf siap sepenuhnya.
Pastinya keadaan tersebut memberi kelegaan kepada pencinta sukan tradisional itu apabila bukan sahaja dapat bermain dengan lebih selesa tetapi gelanggang itu juga menjadi perhatian ramai kerana merupakan gelanggang terbesar di peringkat kebangsaan.
Wajah baharu Gelanggang Gasing Pangkah Felda Tun Ghafar Bukit Senggeh itu antara usaha yang dilakukan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Asahan Datuk Fairul Nizam Roslan dalam memperkasa kemudahan sukan serta memupuk minat generasi muda terhadap permainan warisan.
Bendahari Persatuan Gasing Felda Tun Ghafar Bukit Senggeh Muhammad Nursyarizan Juhari, berkata, sebelum ini gelanggang yang digunakan agak uzur apabila bukan sahaja bocor pada bahagian bumbung tetapi pagar serta tembok juga turut rosak dan keadaan ini menimbulkan rasa tidak selesa.
Katanya, sejak generasi kedua mewarisi permainan tradisional itu pada 2007 keadaan gelanggang sudah tidak berapa baik namun mereka tetap meneruskan permainan gasing kerana tidak mahu sukan itu terus dilupakan.
“Permohonan untuk naik taraf ini dibuat dua tahun lepas dan apabila dimaklumkan tentang naik taraf ini saya sangkakan hanya untuk membaik pulih bumbung tetapi ia jauh meleset.
“Dengan kelulusan peruntukan kira-kira RM200,000 dengan usaha YB Along kami dapat sebuah gelanggang yang fasilitinya cukup lengkap, selesa dan moden.
“Gelanggang ini bukan sahaja ahli persatuan lebih bersemangat untuk bermain tetapi dapat menarik minat generasi muda Felda untuk lebih ramai mewarisi permainan tradisional itu,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Muhammad Nursyarizan yang juga jurulatih gasing negeri berkata, gelanggang berukuran 8×8 meter itu adalah tapak kekal serta menjadi identiti tersendiri komuniti felda.
“Gelanggang baharu ini memberi imej bukan sahaja kepada komuniti Felda dan persatuan tetapi juga kepada Negeri Melaka.
“Di gelanggang ini sebelum ini, persatuan pernah mengadakan pertandingan dan disertai peserta dari luar negara seperti Brunei dan Singapura.
“Pastinya dengan keadaan gelanggang sekarang, lebih banyak pertandingan dapat dianjurkan dan ini secara tidak langsung dapat memperkenalkan Felda Tun Ghafar Bukit Senggeh kepada orang luar,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


