Sorting by

×

CAJ PARKIR PASAR BORONG DITURUNKAN BERKUAT KUASA 1 MEI

Masa Membaca:1 Minit, 4 Saat

AYER KEROH 2 Mei – Isu kenaikan caj parkir di Pasar Borong Batu Berendam yang sebelum ini didakwa membebankan selesai apabila kadar bayaran itu diturunkan bermula semalam.

Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri Allex Seah Soh Chin berkata, penurunan caj bayaran itu diputuskan selepas perbincangan dibuat bersama Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh dan Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin.

“Perbincangan itu dibuat bagi mencari dan mendapatkan penyelesaian terbaik serta lebih adil untuk semua bukan sahaja kepada peniaga malah pengunjung.

“Hasil daripada perbincangan tersebut kadar bayaran parkir baharu yang diputuskan adalah RM1 untuk tempoh dua jam bagi kereta manakala RM3 bagi lori untuk tempoh yang sama.

“Caj parkir baharu ini berkuatkuasa pada 1 Mei dan diharap dengan kadar bayaran ini ia akan meringankan beban bukan sahaja peniaga malah pengunjung ke Pasar Borong Batu Berendam,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Allex yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kesidang berkata, kenaikan caj parkir yang berlaku baru-baru ini secara tidak langsung memberi kesan kepada banyak pihak justeru itu penyelesaian terbaik perlu dilakukan.

“Keputusan penurunan kadar bayaran parkir ini jelas mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri dalam mendengar suara rakyat dan menjaga kebajikan semua pihak,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

326
Kongsi :
Previous post PELUANG BERMANJA DENGAN HAIWAN COMEL, EKSOTIK DI MENARA TAMING SARI
Next post WRUR AYER KEROH: MPHTJ PERUNTUK RM20,000 BAIK PULIH KEDIAMAN UZUR