Sorting by

×

KAMPUNG DIGITAL MELAKA SUDAH LENGKAP, 618 KAMPUNG TERIMA ALAMAT BAHARU

Masa Membaca:1 Minit, 41 Saat

AYER MOLEK 3 Mei – Status pelaksanaan inisiatif Kampung Digital di Melaka kini sudah lengkap apabila kesemua 618 kampung tradisional seluruh negeri yang sebelum ini bergantung dengan alamat perbatuan diberikan alamat baharu yang dilengkapi kod respon pantas (QR).

Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan berkata, pihaknya bersama agensi berkaitan dan pemimpin setempat kini sedang dalam fasa melengkapkan profil penduduk sebelum inisiatif itu dilancarkan secara rasmi tidak lama lagi.

Selain profil penduduk, beliau memaklumkan, Kerajaan Negeri juga akan memperkasakan kempen penukaran alamat kad pengenalan secara percuma kepada penduduk yang terlibat dengan inisiatif Kampung Digital.

“Ketika ini, gerak kerja sedang diperkasakan melibatkan semua Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) untuk membantu memastikan profil penduduk dilengkapkan dalam masa terdekat.

“Pada masa sama, kita juga sedang menggerakkan kempen penukaran kad pengenalan secara percuma melibatkan penduduk terlibat, di mana ia digerakkan menerusi pelbagai program termasuklah Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) yang berlangsung di semua Dewan Undangan Negeri (DUN),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Program WRUR DUN Ayer Molek: Hang Tuah Jaya Kampung Kita di Kompleks Japerun Ayer Molek, di sini, hari ini.

Hadir sama, Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Molek Datuk Rahmad Mariman; Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri merangkap Adun Pengkalan Batu Datuk Kalsom Noordin; Pegawai Daerah Melaka Tengah Mohd Shaiful Hizam Johan; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) Datuk Sapiah Haron serta lain-lain kenamaan.

Fairul Nizam yang juga Pengerusi Penyelaras Program WRUR berkata, inisiatif Kampung Digital yang diilhamkan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh itu bukan sahaja memudahkan pelbagai urusan penduduk dalam aspek penghantaran dan pengesanan lokasi rumah, bahkan ia juga membawa impak cukup besar dalam sudut data.

Jelas beliau, ia termasuklah menghimpunkan data lengkap mengenai demografi sesebuah kampung merangkumi bilangan penduduk dan maklumat isi rumah, di mana, ia juga dapat membantu Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) melaksanakan pelbagai perancangan bersama Kerajaan Negeri.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

410
Kongsi :
Previous post ALUMNI MOZAC SUMBANG RM120,000 SEMPENA SAMBUTAN JUBLI EMAS
Next post WRUR AYER MOLEK BAWA KELAINAN SEPANJANG 8 HARI