Sorting by

×

‘MASJID TUA’ MACHAP SAKSI BISU SEJARAH, PERPADUAN

Masa Membaca:1 Minit, 41 Saat

MACHAP JAYA 4 Mei – Di hujung jalan diteduhi deretan pokok kelapa sawit terletaknya panorama memukau iaitu sebuah masjid tua yang menjadi penjaga setia kepada sejarah lebih seabad lamanya.

Sebuah bangunan sederhana namun sarat makna, dikenali sebagai Masjid Lama Machap ini bukan sahaja pusat ibadat namun di sinilah terjalin kisah perpaduan yang jarang ditemui.

Menyingkap kembali sejarahnya, Setiausaha Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Ayer Pasir, Amran Haron, 61, berkata, masjid itu dahulunya dibina hanya menggunakan kayu dan bertiangkan batang Nibong oleh Datuk Macap.

Jelasnya, Datuk Macap pula dipercayai merupakan seorang pedagang yang telah singgah lalu membuka penempatan awal di kawasan itu.

Selain berperanan sebagai pusat ibadat, katanya, kawasan itu juga digunakan sebagai tempat berkumpul masyarakat pelbagai bangsa suatu ketika dahulu.

“Ini dibuktikan dengan kewujudan ‘plaque’ bertulisan cina dan lukisan pada dinding masjid ini.

“Difahamkan pada tahun 1865, seorang mubaligh berketurunan Cina mengadakan usaha mengutip derma dari penduduk setempat bagi tujuan membina semula masjid ini.

“Istimewanya jika dilihat pada reka bentuk asal masjid ini, ia tak ubah seperti masjid-masjid tradisional di Melaka,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Pasir 1
MAKAM Tok Machap yang terletak di hadapan Masjid Lama Machap. Foto Aufa ‘Izzati

Jika hendak menjejaki sejarah lampau masjid ini, kisah mengenai Makam Tok Machap atau tokoh dikenali ‘Datuk Keramat’ yang terletak di hadapan masjid ini pasti menarik untuk diselongkar.

Kata Amran, biarpun ia pernah dikaitkan dengan kepercayaan karut masyarakat pelbagai kaum, namun nilai sejarahnya jika diamati dan dihayati dapat memberi pengajaran kepada generasi akan datang.

“Ada dalam kalangan mereka yang melakukan amalan tertentu kononnya berhajat, tanda nazar atau kesyukuran.

“Bagaimanapun, keadaan itu kini semakin terkawal apabila Kerajaan Negeri dengan kerjasama Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) memantau sebarang amalan yang bercanggah dengan ajaran agama dilakukan di sekitar makam tersebut,” katanya.

Kini, selepas berdekad, Masjid Lama Machap dan Makam Tok Machap terus menjadi simbol yang menggabungkan elemen sejarah, keagamaan dan budaya dalam satu lokasi, seterusnya diangkat sebagai lokasi pelancongan di DUN Machap Jaya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

366
Kongsi :
Previous post WRUR AYER MOLEK: KONVOI TURUN PADANG LAMBANG MBMB SAYANG RAKYAT
Next post WRUR AYER MOLEK: PERPUSTAKAAN KOMUNITI SRI KANDANG PERKASA BUDAYA MEMBACA