Sorting by

×

MELAKA KAJI TUBUH PUSAT JAGAAN WARGA EMAS MENJELANG 2030

Masa Membaca:1 Minit, 43 Saat

AYER MOLEK 5 Mei – Kerajaan Negeri sedang menjalankan kajian terperinci bagi menilai keperluan penubuhan Pusat Jagaan Warga Emas di Melaka sebagai persediaan menghadapi peningkatan populasi rakyat berusia menjelang tahun 2030.

Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri Datuk Kalsom Noordin berkata, kajian itu penting bagi memastikan penubuhan pusat berkenaan benar-benar memenuhi keperluan rakyat serta dapat dilaksanakan secara menyeluruh dan berkualiti.

Menurutnya, Malaysia termasuk Melaka dijangka memasuki fasa negara menua menjelang 2030, sekali gus memerlukan perancangan awal khususnya daripada aspek kebajikan dan penjagaan warga emas.

“Buat masa ini kita sedang melaksanakan kajian sama ada wajar atau tidak untuk menubuhkan sebuah pusat jagaan warga emas kendalian Kerajaan Negeri.

“Ini penting kerana menjelang 2030, kita akan menjadi negeri menua. Jadi perancangan perlu dibuat dari sekarang supaya kemudahan yang disediakan benar-benar bersesuaian dengan keperluan semasa,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini pada Hari Aduan Rakyat (HAR) sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Molek Hang Tuah Jaya : Kampung Kita di Dewan Japerun Ayer Molek, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Kalsom berkata antara perkara yang diteliti dalam kajian tersebut termasuk permintaan terhadap kemudahan itu, kesesuaian lokasi, penyediaan tapak serta kaedah pengurusan pusat berkenaan.

“Penubuhan pusat jagaan warga emas bukanlah sesuatu yang boleh dilaksanakan dalam tempoh singkat kerana ia memerlukan perancangan rapi termasuk penyediaan tanah dan pengendali yang berkelayakan.

“Kalau ada permintaan yang tinggi dan kajian menunjukkan keperluan itu mendesak, kita akan bawa cadangan ini ke peringkat seterusnya untuk dipertimbangkan.

“Ini juga merupakan antara inisiatif Kerajaan Negeri yang telah diumumkan dalam pembentangan bajet, namun pelaksanaannya perlu melalui proses kajian terlebih dahulu,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan kemudahan sedia ada seperti di Rumah Seri Kenangan (RSK) Cheng kini berdepan kekangan kapasiti kerana jumlah penghuni yang semakin meningkat.

“Pusat jagaan warga emas yang dikendalikan pihak swasta juga dilihat kurang mampu diakses oleh sebahagian masyarakat berikutan kos yang tinggi.

“Justeru itu, Kerajaan Negeri komited untuk mencari penyelesaian terbaik bagi memastikan kebajikan golongan warga emas terus terbela pada masa hadapan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

493
Kongsi :
Previous post KEREPEK PISANG NANGKA BAWA REZEKI TAK DISANGKA
Next post WRUR AYER MOLEK: PESAKIT BUAH PINGGANG TERHARU MASIH ADA YANG SAYANG