Sorting by

×

KPM SASAR 800 ‘AI POWERED CLASSROOM’ MENJELANG AKHIR 2027

Masa Membaca:1 Minit, 46 Saat

PAYA RUMPUT 19 Mei – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menyasarkan sebanyak 800 bilik darjah di seluruh negara akan ditransformasikan kepada ‘AI Powered Classroom’ menjelang akhir tahun 2027.

AI Powered Classroom merupakan inisiatif yang menyediakan persekitaran pembelajaran berintegrasi teknologi dan kecerdasan buatan (AI) untuk memperkasa murid melalui pembelajaran adaptif serta menyokong guru melalui automasi tugasan dan analitik pembelajaran.

Ketua Pengarah Pendidikan Datuk Dr. Mohd Azam Ahmad berkata, inisiatif strategik itu merupakan antara fokus utama di bawah Rancangan Pendidikan Malaysia 2026-2035 bagi memastikan literasi digital dapat diterapkan secara menyeluruh dalam sistem pendidikan negara.

Menurutnya, pelaksanaan ‘AI Powered Classroom’ ketika ini dimulakan secara rintis sebelum diperluaskan secara berperingkat ke seluruh negara.

“Setakat ini kita ada sebanyak 27 bilik darjah AI Powered Classroom dan kita akan memperluaskan inisiatif ini menjelang akhir tahun 2027.

“Selain AI Powered Classroom, KPM turut menggerakkan pelbagai inisiatif strategik bersama syarikat teknologi antarabangsa seperti ‘Apple dan Google’ bagi memperkukuh penguasaan digital dalam kalangan guru dan murid.

“Kita menyediakan latihan percuma kepada guru-guru untuk memperoleh sijil kepimpinan digital Google, semua inisiatif ini digerakkan bagi mencapai matlamat dasar pendidikan digital di bawah KPM,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas Majlis Peluncuran AI -Powered Classroom Peringkat Negeri Melaka Tahun 2026 di Sekolah Kebangsaan Paya Rumput (SKPR), di sini, hari ini.

Hadir sama Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paya Rumput Datuk Rais Yasin; Pengarah Bahagian Sumber dan Teknologi KPM Aniza Kamarulzaman; Timbalan Pengarah Sektor Pengurusan Sekolah Jabatan Pendidikan Negeri Melaka Karim Tumin dan Guru Besar SKPR Rozahiran Hamzah.

Mengulas mengenai cabaran kepada guru dalam pelaksanaan AI Powered Classroom, beliau berkata teknologi digital bukan lagi sesuatu yang asing khususnya kepada generasi guru masa kini.

“Penggunaan teknologi digital dan teknologi kecerdasan buatan (AI) mampu membantu guru melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) yang lebih kreatif, menarik serta sesuai dengan perubahan gaya pembelajaran murid masa kini.

“Kita mahu memastikan pedagogi yang dilaksanakan dalam bilik darjah sesuai dengan zaman kerana anak-anak hari ini hidup dalam dunia teknologi digital, AI, ChatGPT dan robotik,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

123
Kongsi :
Previous post PPKI MELAKA TERIMA SUMBANGAN PERALATAN BAKERI BERNILAI RM40,000