
MFH SALUR RM54.5 JUTA BANTU RAKYAT MELAKA MILIKI KEDIAMAN
BANDARAYA MELAKA 21 Mei – Sebanyak RM54.5 juta telah diluluskan oleh Melaka Finance House Berhad (MFH) bagi pembiayaan pinjaman di bawah Dana Hartanah Bumiputera (DHB) sejak Jun 2020 sehingga penghujung April lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif MFH Berhad Nazri Saring berkata, dalam tempoh tersebut sebanyak 947 permohonan diterima melibatkan tiga skim utama yang ditawarkan menerusi dana berkenaan iaitu Pinjaman Pembelian Rumah, Pinjaman Pembinaan Rumah dan Pinjaman Deposit Pembelian Rumah.
Menurut beliau, daripada jumlah itu sebanyak 700 permohonan berjaya diluluskan selepas memenuhi syarat dan kriteria yang ditetapkan pihak MFH.
“MFH telah meluluskan pembiayaan berjumlah RM54.5 juta bagi membantu pemohon yang layak mendapatkan kemudahan pinjaman di bawah DHB.
“Bagaimanapun, sebanyak 247 permohonan lagi tidak berjaya selepas proses penilaian mendapati pemohon tidak memenuhi syarat kelayakan yang ditetapkan,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Nazri berkata, inisiatif diperkenalkan Kerajaan Negeri menerusi MFH itu merupakan antara langkah proaktif dalam memperkukuh agenda pemilikan rumah rakyat, khususnya dalam kalangan golongan mereka berpendapatan sederhana serta rendah.
“Menerusi skim berkenaan bukan sahaja membantu memudahkan rakyat memiliki kediaman sendiri malah turut mengurangkan beban kewangan pembeli,” katanya.
Sementara itu beliau berkata, MFH turut menawarkan kemudahan pinjaman peribadi kepada rakyat Melaka dengan kadar faedah yang kompetitif dan berpatutan.
“Selain pembiayaan perumahan, MFH juga menyediakan kemudahan pinjaman peribadi sebagai alternatif kepada rakyat yang memerlukan sumber kewangan tambahan.
“Jumlah pinjaman yang ditawarkan adalah antara RM5,000 hingga RM20,000 dengan tempoh pembiayaan sehingga lima tahun,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

