Sorting by

×

WRUR KOTA LAKSAMANA: BANJIR KILAT ANTARA ADUAN RAKYAT YANG AKAN DISELESAIKAN

Masa Membaca:1 Minit, 40 Saat

KOTA LAKSAMANA 21 Mei – Isu banjir kilat yang membelenggu penduduk antara 46 aduan yang diterima sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Laksamana yang berlangsung sehingga 23 Mei ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Laksamana Low Chee Leong berkata, isu tersebut merupakan antara aduan utama yang diterima pihaknya sebaik WRUR membuka tirai pada 17 Mei.

Beliau yang juga Timbalan Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri berkata, pihaknya masih menerima dan mengumpul aduan penduduk memandangkan proses itu berjalan sepanjang masa dan tidak terhad ketika program WRUR berlangsung sahaja.

“Paling banyak aduan kita terima memang melibatkan isu infrastruktur terutama berkaitan sistem perparitan dan banjir yang memerlukan tempoh masa untuk diselesaikan secara menyeluruh.

“Dalam DUN Kota Laksamana ini selain isu banjir kilat, kita turut menerima isu melibatkan jalan raya, longkang serta pelbagai lagi isu yang memerlukan perhatian,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui pada Majlis Pelepasan Program Cakna Kebajikan: Ziarah Kasih WRUR DUN Kota Laksamana yang disempurnakan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) Lim Hui Ying di Japerun Kota Laksamana, di sini, pada Rabu.

Hadir sama, Pegawai Kewangan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh
yang menjalankan tugas Setiausaha Kerajaan Negeri; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan; Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri Datuk Kalsom Noordin dan Timbalannya Leng Chau Yen serta kenamaan lain.

Mengulas lanjut, Chee Leong berkata, sebanyak 56 program untuk rakyat berbilang kaum dan segenap lapisan masyarakat dirangka sepanjang WRUR Kota Laksamana berlangsung membabitkan pelbagai agensi Kerajaan dan Kerajaan Negeri.

Jelas beliau, menerusi Program Cakna Kebajikan: Ziarah Kasih bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Melaka sebanyak 40 rumah akan dilawati sambil menyantuni golongan B40 dalam DUN Kota Laksamana.

“Pada saya meskipun WRUR DUN Kota Laksamana berakhir pada 23 Mei ini namun usaha membantu rakyat terutama golongan sasaran akan diteruskan. Walaupun program ini berakhir, namun tugas kita tidak berhenti sebaliknya kita akan terus bekerja membantu rakyat,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

133
Kongsi :
Previous post MFH SALUR RM54.5 JUTA BANTU RAKYAT MELAKA MILIKI KEDIAMAN