Sorting by

×

#BeSMART COWBOYS PERTAHAN GELARAN ‘RAJA RAGBI’ B12 MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

AYER KEROH 21 Mei – Kekurangan fasiliti latihan bukanlah alasan untuk tidak melakar sejarah. Itu yang dibuktikan pasukan ragbi Sekolah Kebangsaan (SK) Bendahara Seri Maharaja, yang lebih dikenali sebagai #BeSMART Cowboys.

Ia selepas skuad itu sekali lagi membuktikan kehebatan apabila berjaya mempertahankan kejuaraan dalam Kejohanan Ragbi Bawah 12 Tahun Majlis Sukan Sekolah (MSS) Negeri Melaka 2026 buat kali kedua berturut-turut, baru-baru ini.

Dalam perlawanan akhir yang penuh mendebarkan di padang SK Pulai, #BeSMART Cowboys berjaya menundukkan SK Duyong, dengan keputusan 37-29 dalam satu pertembungan ulangan final tahun lalu.

Pengurus Pasukan #BeSMART Cowboys, Azizul Hakim Muda berkata, kejuaraan kali ini diibaratkan sebagai satu kisah dongeng yang menjadi kenyataan, memandangkan sasaran asal pasukan hanyalah sekadar melangkah ke peringkat suku akhir divisyen Cup.

“Secara jujurnya, pencapaian ini melepasi sasaran yang telah kami tetapkan. Lebih membanggakan, SK Bendahara Seri Maharaja merupakan satu-satunya sekolah di Melaka yang tidak mempunyai padang rumput.

Seluruh kawasan sekolah kami adalah permukaan berturap yang hanya memuatkan ruang parkir kenderaan dan ia bukan penghalang untuk kami melakar kejayaan,” jelasnya.

Menurut Azizul Hakim, bagi menangani kekurangan fasiliti latihan lengkap, barisan pengurusan terpaksa mengambil inisiatif membawa pemain berlatih di Padang Awam Taman Seri Duyong tiga kali seminggu pada petang Isnin dan Selasa, serta pagi Sabtu.

Selain itu, katanya, kesemua pemain juga diwajibkan menjalani latihan berintensiti tinggi (Tabata) seawal pagi setiap Khamis bagi membina tahap ketahanan kardiovaskular yang optimum.

“Kejayaan mengekalkan status sebagai ‘Raja Ragbi B-12 Melaka’ ini bukan sahaja mengangkat martabat sukan di peringkat akar umbi, malah menjadi bukti nyata bahawa keazaman, disiplin, dan dedikasi mampu menewaskan segala kekurangan infrastruktur,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

56
Kongsi :
Previous post WRUR KOTA LAKSAMANA: BANJIR KILAT ANTARA ADUAN RAKYAT YANG AKAN DISELESAIKAN