Sorting by

×

692 PELAJAR SEKOLAH MELAKA MEROKOK

Masa Membaca:1 Minit, 33 Saat

KOTA LAKSAMANA 22 Mei – Seramai 692 pelajar sekolah menengah di Melaka dikesan merokok menerusi saringan yang dijalankan Jabatan Kesihatan Negeri Melaka.

Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem berkata, jumlah itu dikesan daripada 64,347 pelajar yang disaring di seluruh negeri.

Jelas beliau, walaupun angka tersebut nampak kecil, namun ia berpotensi memberi impak cukup besar sekiranya tidak ditangani dengan segera.

Lebih membimbangkan, ujar Hee Sem, penggunaan vape dalam kalangan remaja di negara ini juga menunjukkan peningkatan drastik iaitu daripada 9.8 peratus pada 2017 kepada 14.9 peratus pada 2023 dan hampir separuh daripadanya mula terjebak sebelum usia 14 tahun.

“Atas faktor itu Jabatan Kesihatan bersama Jabatan Pendidikan Negeri Melaka menganjurkan Program Jelajah KOTAK (Kesihatan Oral Tanpa Amalan Merokok) membawa misi dan mesej yang sangat penting buat kita semua.

“Lafaz ‘Saya Ikrar Berhenti’ bukan sekadar omong kosong namun satu janji moral dan integriti untuk membebaskan diri daripada belenggu asap rokok dan wap vape yang merosakkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Jelajah KOTAK: Saya Ikrar Berhenti Peringkat Negeri Melaka Bersempena Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Laksamana di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Methodist (ACS), Tengkera, di sini, pada Rabu.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Laksamana Low Chee Leong; Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri Melaka (Kesihatan Awam) Dr. Noor Aizam Mohd Said serta lain-lain kenamaan.

Jelas Hee Sem, Jelajah KOTAK yang diadakan di sekolah-sekolah amat penting memandangkan generasi muda itulah yang akan menjadi pelapis negara pada masa akan datang.

“Justeru jangan biarkan potensi besar itu pudar akibat terjebak dengan tabiat rokok dan vape yang merosakkan.

“Saya juga menyeru para pendidik, ibu bapa dan penjaga agar sentiasa cakna dan memastikan persekitaran para pelajar ini bebas daripada sebarang anasir dan pengaruh negatif berkaitan tabiat merokok dan vape,” tambahnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

165
Kongsi :
Previous post WRUR KOTA LAKSAMANA: NADI MAIN PERANAN PENTING TANGKIS MAKLUMAT PALSU