
INDUSTRI AUTOMOTIF JADI PEMANGKIN EKONOMI UTARA MELAKA
GADEK 15 Jun – Kemudahan mengecat badan kenderaan atau ‘painting line’ milik EP Manufacturing Berhad (EPMB) sedang dalam fasa pembinaan di Kawasan Perindustrian Hicom, Pegoh, di sini, dianggap sebagai satu perkembangan akan menguntungkan rakyat Melaka pada masa hadapan
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, perkembangan amat positif dalam industri automotif itu juga dilihat mampu menjadi pemangkin kepada perkembangan ekonomi bagi rakyat sekitar Utara Melaka dan mewujudkan lebih 300 peluang pekerjaan baharu.
Katanya, dalam masa tiga tahun EPMB mengembangkan kemudahan di Melaka dan selepas ini pengeluaran kenderaan dari kemudahan milik syarikat itu dijangka mencapai sehingga 60,000 unit setahun.
“Majlis hari ini membawa Melaka ke dimensi baharu dalam industri automotif, sebanyak 300 lagi peluang pekerjaan baharu melibatkan pekerja berkemahiran tinggi akan diwujudkan.
“Mereka berkemahiran dalam Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) akan dihantar ke China bagi menjalani latihan agar hasil kerja yang dihasilkan nanti menepati piawaian ditetapkan dan berkualiti tinggi.
“Selain itu perkembangan ini juga amat menarik kerana ia menjamin pemindahan teknologi dari China ke Melaka,” kata Ketua Menteri pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Fasiliti Pengecatan Badan Kenderaan (Painting Line) milik EPMB di Kawasan Perindustrian Hicom Pegoh, di sini, hari ini.
Hadir sama Pegawai Kewangan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh yang menjalankan tugas Setiausaha Kerajaan Negeri; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan serta Exco Belia, Sukan dan NGO negeri Datuk VP Shanmugam.
Yang turut hadir Pengerusi Eksekutif EPMB Hamidon Abdullah; Lembaga Pengarah EPMB Ong Tsuey Yun dan Ketua Pegawai Perolehan Great Wall Motor Meng Xiang Jun.
Ab Rauf berkata, penggunaan teknologi terkini yang mesra dan mengutamakan kelestarian alam itu juga membantu mengurangkan kos sisa pepejal sebanyak 80 peratus.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


