
MELAKA CIPTA PELUANG PEKERJAAN BERTARAF TINGGI – AB RAUF
GADEK 15 Jun – Melaka menjadi perhatian rakyat Malaysia, apabila foto pencari kerja berbaris panjang untuk menghadiri sesi temu duga di sebuah kilang elektronik yang beroperasi di Batu Berendam, di sini, semalam, tular di media sosial.
Berdasarkan maklumat yang tular, tawaran gaji bermula RM3,500 sebulan menjadi tarikan mendorong anak muda menghadiri sesi temu duga meskipun terpaksa beratur panjang.
Mengulas mengenai perkara itu Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, apa yang berlaku menggambarkan Melaka sebagai sebuah negeri yang mencipta peluang pekerjaan bertaraf tinggi.
“Saya percaya yang hadir sesi temu duga itu bukan sahaja rakyat Melaka tetapi mereka luar dari negeri ini. Peluang pekerjaan di Melaka amat baik malah peratusan pengangguran kita lebih rendah berbanding Kebangsaan iaitu 2.2 peratus sahaja.
“Satu lagi faktor yang menarik perhatian ramai adalah ‘track record’ syarikat berkenaan yang menjamin peluang pekerjaan dan institusi kekeluargaan, malah kilang berkenaan sudah beroperasi di negeri ini lebih 52 tahun,” kata Ketua Menteri.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Fasiliti Pengecatan Badan Kenderaan (Painting Line) milik EPMB di Kawasan Perindustrian Hicom Pegoh, di sini, hari ini.
Hadir sama Pegawai Kewangan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh yang menjalankan tugas Setiausaha Kerajaan Negeri; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan serta Exco Belia, Sukan dan NGO negeri Datuk VP Shanmugam.
Yang turut hadir Pengerusi Eksekutif EPMB Hamidon Abdullah; Lembaga Pengarah EPMB Ong Tsuey Yun dan Ketua Pegawai Perolehan Great Wall Motor Meng Xiang Jun.
Mengulas lanjut Ketua Menteri berkata, perkara itu juga dianggap positif kerana mencerminkan ekonomi Melaka semakin berkembang, sekali gus bakal memberikan lebih banyak manfaat kepada rakyat pada masa hadapan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


