
MELAKA FOKUS TERUS TINGKATKAN CAPAIAN JALUR LEBAR, TELEKOMUNIKASI MUDAH ALIH
TANJUNG BIDARA 16 Jun – Kajian secara berterusan dijalankan Kerajaan Negeri bagi memastikan tahap liputan jalur lebar dan telekomunikasi mudah alih di Melaka sentiasa berada pada tahap yang terbaik dan ditingkatkan lagi dari semasa ke semasa.
Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan berkata, sebahagian besar kajian itu dilaksanakan melibatkan kawasan bandar dengan kepadatan penduduk yang tinggi.
Katanya, sehubungan itu juga penyedia perkhidmatan telekomunikasi juga disarankan supaya berkongsi kemudahan menara sedia ada termasuk yang dibina oleh Melaka ICT Holdings Sdn Bhd (MICTH) menerusi inisiatif Multi-Operator Core Network (MOCN) bagi memaksimumkan lagi tahap capaian dan kualiti jalur lebar kepada rakyat Melaka.
“Kita tidak mahu kawasan bandar sesak dengan menara yang terlalu banyak, lebih baik beberapa penyedia perkhidmatan telekomunikasi ini berkongsi satu kemudahan menara sahaja, perkara ini juga menjimatkan kos kerana belanja untuk membina sebuah menara adalah agak tinggi.
“Selain itu kita tidak tetapkan jumlah menara perlu ada di Melaka, semuanya bergantung kepada keperluan contoh bagi kawasan luar bandar mungkin perlu menara baharu kerana wujudnya halangan semula jadi seperti kawasan berbukit yang mengehadkan radius operasi rangkaian,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Struktur Menara Telekomunikasi Baharu di Taman Seri Jeram, Masjid Tanah yang disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, hari ini.
Hadir sama Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer; Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rosli Abdullah; Ketua Pegawai Eksekutif MICTH Dr. Nazdiana Ab Wahab serta Pengarah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Negeri Melaka Khairol Nizam Mohd Mostar.
Fairul Nizam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Asahan berkata, Kerajaan Negeri menerusi MICTH juga melihat kepada alternatif lain seperti penggunaan kabel gentian optik bagi meningkatkan mutu perkhidmatan jalur lebar di Melaka.
“Penggunaan kabel gentian optik ini lebih menjimatkan kos dan meningkatkan lagi tahap kepenggunaan rangkaian selain radius liputan lebih luas. Insya-Allah kita sentiasa beri perhatian kepada permasalahan melibatkan liputan ini termasuk yang diangkat Adun berkenaan. Antara lokasi yang kita berikan perhatian ketika ini adalah sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Rambai dan Taboh Naning,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


