
TIADA LAGI ‘DONUT’, ‘LINE SIPUT’ DI TAMAN SERI JERAM
TANJUNG BIDARA 16 Jun – Pembinaan sebuah menara telekomunikasi di Taman Seri Jeram, Masjid Tanah menjadikan kawasan itu dan sekitarnya kini memiliki liputan internet serta jaringan komunikasi lebih baik.
Ketua Pegawai Eksekutif Melaka ICT Holdings Sdn Bhd (MICTH) Dr. Nazdiana Ab Wahab berkata, menara baharu itu menyediakan liputan internet dan telekomunikasi mudah alih bagi pengguna dalam lingkungan radius lima kilometer.
“Dianggarkan 3,000 hingga 5,000 pengguna sekitar Taman Seri Jeram memperoleh manfaat hasil daripada pembinaan menara telekomunikasi baharu ini.
“Akibat liputan yang lemah sebelum ini penduduk sekitar kerap mengalami masalah ‘blind spot’ dan rangkaian yang perlahan. Insya-Allah selepas ini akan lebih laju dan diharapkan tidak ada lagi masalah ‘loading’ atau ‘donut’,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Struktur Menara Telekomunikasi Baharu di Taman Seri Jeram, Masjid Tanah yang disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, di sini, hari ini.
Hadir sama Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan; Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer; Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rosli Abdullah serta Pengarah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Negeri Melaka Khairol Nizam Mohd Mostar.
Menara telekomunikasi ini akan memberikan liputan rangkaian yang lebih meluas, stabil dan berkualiti kepada pengguna sekitar Kampung Seri Jeram, Taman Seri Jeram, Taman Jeram Perdana, Jalan Lubok Redan Masjid Tanah, Kolej Komuniti Masjid Tanah, Taman Seri Paya Rumput serta Kampung Paya Rumput.
Selain itu menara berkenaan juga berkeupayaan menampung sehingga tujuh penyedia perkhidmatan telekomunikasi, sekali gus memperkukuh liputan rangkaian dan memastikan rakyat menikmati capaian internet yang lebih pantas serta stabil.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


